Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah tampil dengan kenyataan mengapa Liverpool akhirnya terpaksa mengundur diri daripada pemburuan mendapatkan Timo Werner.
Perkara tersebut didedahkan dalam wawancara bersama Sky German yang menjelaskan mengapa Chelsea akhirnya berjaya memintas mereka dalam mendapatkan tandatangan pemain sensasi RB Leipzig itu dalam sekelip mata.
Sebelum Chelsea mengumumkan mereka dalam fasa akhir untuk mendapatkan Timo Werner, Liverpool merupakan calon utama perpindahan pemain berusia 24 tahun itu dan boleh dikatakan banyak pihak yang berpendapat Anfield adalah pengakhirannya.
Timo Werner dan Kai Havertz – pemain yang hebat
Klopp terlebih dahulu telah menjelaskan, Timo Werner dan Kai Havertz merupakan dua pemain yang hebat ketika ini, namun kelihatan mereka akan gagal dalam mendapatkan tandatangan kedua-duanya untuk berpindah ke kem Anfield pada musim depan.
Timo Werner dikhabarkan sudah sangat hampir untuk menjadi The Blues walaupun dikatakan belum ada kata putus mengenainya, sementara Kai Havertz pula yang ketika ini bermain bersama Bayer Leverkusen diberitakan akan menyertai Bayern Munich.
“Terdapat banyak pemain yang bagus di dalam dunia ini. Timo Werner adalah seorang pemain yang hebat, Kai Havertz juga merupakan pemain yang bagus,” ujar Klopp.
“Masa yang sesuai dan peluang, ianya perlu datang bersama-sama,” ujarnya yang sangat menyukai kedua-dua bakat muda Jerman tersebut namun, masalah pandemik COVID-19 telah menyekat hasrat Liverpool untuk mendapatkan kedua-dua pemain.
Mahu potong gaji tetapi dapatkan pemain mahal
“Semua kelab mengalami kerugian ketika ini. Bagaimana saya boleh berbincang mengenai pemotongan gaji dengan pemain-pemain tetapi dalam masa yang sama, saya mendapatkan pemain baharu dengan harga £50-60 juta?” tegas Klopp lagi.
“Jika anda masih mahu mendapatkan mereka dan berurusan seperti biasa, anda perlu bergantung dengan pendapatan kelab. Dan kita tidak tahu berapa pendapatan kelab selepas ini – dengan situasi beraksi tanpa kehadiran penyokong selepas ini.
“Pada ketika ini, tanpa penyokong, kita perlu membayar semula tiket bermusim dan mungkin tidak boleh menjualnya langsung pada musim hadapan – mungkin 10 ke 15 perlawanan awal. Tiada penyokong dan tiket tidak akan terjual,” tambahnya lagi.
Kenyataan Klopp itu ada benarnya. Dengan situasi dunia masih melalui fasa sukar saat ini, pendapatan kelab sudah tentu terjejas dan bagaimana mereka akan jelaskan kepada pemain sedia ada mengenai dana untuk mendapatkan pemain baharu?
Kerugian sekitar £200 juta
TeamTalk melaporkan Liverpool dijangka akan mengalami kerugian pendapatan sekitar £200 juta berikutan pandemik ini dengan pendapatan daripada perlawanan akan paling teruk terjejas akibat larangan penyokong untuk berada di stadium.
Dengan kerugian sebesar itu, Klopp merasakan ia sukar untuk terus memburu pemain baharu seperti sebelum ini dan Liverpool pada ketika ini mungkin tidak akan mendapatkan pemain baharu sehingga segalanya kembali tenang seperti dahulu.
“Di England saat ini, terdapat pelbagai khabar angin mengenai siapa yang Manchester United akan tandatangan, siapa yang Chelsea akan dapat. Ketika ini, ia agak sunyi di sini [Liverpool]. Saya rasa itu yang sepatutnya berlaku,” ujar Klopp lagi.
Penutup
Klopp tidak dapat menjelaskan kepada pemain sedia ada mengenai pemotongan gaji sekiranya mereka berjaya membawa masuk pemain seperti Timo Werner dan Kai Havertz yang mungkin akan menyebabkan pasukan berbelanja besar.
Selain itu, mungkin tiada keperluan untuk The Reds membawa masuk kedua-dua pemain tersebut dengan situasi di Liverpool yang masih baik dan bakal ditabal sebagai juara sekiranya liga kembali bersambung – hanya enam mata sahaja lagi.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES