Klopp Dedah Alasan Mengapa Beliau Gembira Melihat ‘Kedunguan’ Chelsea Pada Ketika Ini

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tampil menjelaskan tentang mengapa beliau gembira melihat kedunguan Chelsea sepanjang musim ini walau kelab dari London itu telah mengeluarkan dana yang sungguh besar pada jendela perpindahan sebelum ini.

Walau sudah berbelanja besar, namun Chelsea sepertinya dilihat semakin bergelut pada musim ini dan Klopp sendiri mengakui bahawa beliau gembira melihat hal tersebut.

Sejak membelanjakan £4.25 billion untuk membeli Chelsea pada tahun lalu, Todd Boehly telah mengeluarkan dana yang sungguh luar biasa menakjubkan untuk urusan pembelian pemain.

Musim panas lalu, Chelsea telah mengeluarkan dana bernilai £278 juta untuk membeli pemain dengan mereka ketika itu membawa Kalidou Koulibaly, Raheem Sterling, Wesley Fofana dan Marc Cucurella ke Stamford Bridge.

Pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini pula, The Blues sekali lagi berbelanja sakan dengan mereka mengeluarkan dana bernilai £322 juta untuk mendapatkan pemain baru.

Chelsea membeli Mykhailo Mudryk dari Shakhtar Donetsk dengan yuran perpindahan bernilai £88 juta, Noni Madueke dari PSV Eidhoven dengan nilai £29 juta dan The Blues turut menandatangani Enzo Fernandez dengan yuran perpindahan lebih dari £100 juta.

Walau sudah begitu sakan berbelanja, namun ia sama sekali tidak membantu Chelsea untuk peroleh sesuatu sepanjang musim ini, dengan The Blues kini semakin bergelut berbanding musim-musim sebelum ini.

Chelsea sudah tersingkir dari semua pertandingan yang mereka sertai, dan lebih teruk lagi mereka kini berada di kedudukan ke-12 dalam carta saingan Premier League.

The Blues bahkan hanya 10 mata sahaja dipisahkan dari zon penyingkiran dan andai aksi hambar mereka berterusan, tak mustahil skuad kendalian Frank Lampard itu boleh beraksi di pentas saingan Championship musim hadapan.

Menjelang terbukanya jendela perpindahan musim panas ini, Jurgen Klopp tampil memberi sedikit pandangan berkait situasi terkini Chelsea.

Bercakap kepada Sky Sports, Klopp menjelaskan bahawa:

“Sejujurnya saya dapat rasakan apa yang Chelsea rasakan sekarang, kerana ia tidak berjalan dengan baik, saya rasa mereka hebat, pasukan yang hebat, tapi di satu sisi lain, ia sangat bagus untuk lihat yang kamu sebenarnya tak boleh sekadar bawa pemain-pemain hebat dan anggap ia akan berhasil.”

“Kamu perlu bina pasukan dan itu lah apa yang mereka (Chelsea) pandang rendah dan mereka bagi tugas yang agak mustahil kepada pengurus untuk dilakukan.”

“Kamu tak boleh ada dua bilik persalinan, kamu tak boleh berlatih di dua padang latihan, kamu perlu bina hubungan, kamu perlu bina semangat sepasukan dan perjalanan itu menjadikan saya sedikit gembira tentangnya.”

“Chelsea pada akhirnya akan baik-baik sahaja dan mereka akan jadi sangat kuat tahun hadapan, tapi saya sekadar guna mereka untuk dijadikan sebagai contoh.”

“Di pentas tertinggi, tidak, kita tak boleh lakukan seperti itu. Dan hal itu lah apa yang kami tak akan lakukan. Kamu perlu bawa pemain yang tepat dan bina skuad yang baru. Skuad ini mencipta kisah menarik untuk diceritakan dan sekarang perlu bina yang baru, itu saja.”

Penyokong Chelsea tertarik dengan komen dari Klopp itu dengan mereka turut memberi pandangan masing-masing di media sosial.

“Penyokong Chelsea akan benci dia untuk ini tapi dia bercakap perkara yang tepat.”

“Dia betul dan ia terpakai untuk semua alam pekerjaan di dunia ini. Ia agak bagus untuk bawa pakar ke syarikat kamu tapi jika tidak sepakat, hasilnya tetap hambar.”

“Sangat tepat, Boehly menunjukkan yang difikiran dia dengan berbelanja besar beli pemain, tugas jurulatih akan semakin mudah, sedangkan yang berlaku adalah sebaliknya.”

Penyokong Chelsea di Malaysia pula, apa pendapat kalian tentang kenyataan dari Jurgen Klopp? Sila bincangkan di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN