Frank Lampard dilihat tidak menyalahkan mana-mana pemainnya selepas terikat 3-3 menentang West Brom dalam saingan Premier League, lewat malam tadi.
Chelsea bangkit dengan meledak tiga gol di babak kedua untuk mengikat West Brom yang mendahului perlawanan tiga gol tanpa balas di babak pertama. Ia adalah sesuatu yang sangat baik pada pandangan Lampard walaupun sedikit mengecewakan.
‘Thiago akan menjadi pemain yang hebat’
Bercakap di sidang media selepas perlawanan, Lampard tampil mengulas mengenai persoalan terlalu ramai pemain baharu jadi punca benteng yang rapuh berkata, “Sukar untuk menyalahkan perkara tersebut. Mereka seperti mana anda lihat mereka hari ini.”
“Kita tiada aksi pra-musim untuk menyesuaikan pemain baharu bersama pasukan dan beri idea baharu untuk mereka terus berkembang. Ia adalah salah satu elemen dalam pasukan yang kita tidak mempunyai masa untuk melakukannya,” jelasnya.
Menurut Lampard lagi mengenai prestasi pertahanan baharu, Thiago Silva yang boleh dikatakan melalui malam buruknya dalam perlawanan tersebut, beliau merasakan yang Thiago adalah seorang pemain terhebat yang mereka berjaya dapatkan.
“Itu merupakan penampilan pertamanya di Premier League dan ianya telah berlalu. Kita akan mendapat aksi lebih baik daripadanya apabila dia semakin cergas dan semua pemain kembali cergas sepenuhnya,” tegas Lampard mengenainya lagi.
Sentiasa ada tempat untuk pemain muda
Ketika ditanyakan reaksinya tentang prestasi pemainnya, Lampard berkata, “Perasaan saya bercampur baur. Saya gembira mereka bangkit dan memburu semula tiga gol tersebut tetapi saya perlu lihat semula apa yang berlaku sebelumnya.”
“Saya tidak gembira dengan cara kita melepaskan tiga gol sebelum itu. Tiga percubaan tepat dan kita telah ketinggalan tiga gol,” ujarnya lagi mengenai perasaannya.
Dalam pada itu, bercakap pula mengenai prestasi Tammy Abraham dan Callum Hudson-Odoi, beliau nyata berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pemain muda itu dan menjelaskan mengenai situasi di kemnya sejak kemasukkan pemain baharu.
“Pemain-pemain muda terutamanya ketika melihat ramai pemain baharu menyertai pasukan tentunya bertanya mengenai tempat mereka di dalam skuad. Tempat itu ada buat mereka untuk direbut dengan terbuka,” tegas Lampard mengenainya.
Penutup
Chelsea bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Mason Mount, Callum Hudson-Odoi dan Tammy Abraham di babak kedua bagi membolehkan mereka mengelak kekalahan kedua berturut-turut dan membawa pulang satu mata.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES