Kisah Di Sebalik Terma ‘David vs Goliath’ Yang Digunakan Media Bola Sepak British

Separuh akhir pertama Piala Malaysia 2004. Perlis menentang Pahang.

Ketika itu, Pahang merupakan skuad ‘Galacticos’ di Malaysia. Skuad Tok Gajah dilatih oleh Zainal Abidin Hassan dan menghimpunkan pemain-pemain bintang seperti Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizul Kamaluddin, Simon Colosimo, Ante Milicic dan Mamadaou Diallo.

Sumber: Faliq Firdaus

Seperti analisis media, barisan pertahanan Perlis ketika itu – Feriza Ismail, Khaironnisam Shahabudin, Joao Bandoch dan Adrien Jurad Chamrong – tahu perlawanan ini adalah tugas berat bagi mereka.

Jika mengikut terma bahasa Inggeris, perlawanan ini ibarat David vs Goliath, .

Ketika perlawanan, Perlis lebih banyak bertahan dan mengharapkan serangan balas. Seawal minit ke-9, taktik Perlis ini berjaya membuahkan hasil apabila Philimon Chipeta (gambar bawah) menjaringkan gol pendahuluan Perlis.

Perlis 1-0 Pahang.

Sumber: Utusan Malaysia

Selepas gol ini, Pahang bagaikan dirasuk. Mereka menyerang kubu Perlis bertalu-talu.

Bagaimanapun kealpaan benteng pertahanan Pahang dan penjaga gol mereka sendiri, Azmin Azram Aziz, menghadiahkan gol ke-2 Perlis yang dijaringkan Joao Bandoch. Tamat perlawanan – Perlis 2-0 Pahang.

Ketika perlawanan separuh akhir kedua, Pahang menewaskan Perlis 3-2. Tetapi ia tidak cukup untuk menghalang kemaraan Perlis ke pentas final.

Perlis kemudiannya muncul juara Piala Malaysia 2004 apabila menewaskan Kedah 1-0. Siapa sangka Singa Utara yang kecil mampu menumbangkan 2 ‘goliath’ seperti Kedah dan Pahang?

Sumber: Utusan Malaysia

Apa itu David vs Goliath?

David vs Goliath adalah satu cara bagi media British untuk memberi analogi kemenangan pasukan kecil (underdog) menentang pasukan besar (favorite).

Ia merujuk kepada sebuah kisah dari kitab Bible – tentang kemenangan David (atau nabi Daud) menentang Goliath; pahlawan yang jauh lebih besar daripadanya.

Kami pasti anda pernah mendengar terma ‘David vs Goliath’ ketika media British menggambarkan kemenangan Wigan ke atas Manchester City pada final FA Cup 2013.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Atau mahukah kami ingatkan anda kemenangan 4-0 MK Dons ke atas Manchester United pada Ogos 2014?

(Photo by Clive Mason/Getty Images)

Namun adakah anda tahu kisah sebenar David vs Goliath mengikut perspektif Kristian? Dan Islam?

Perspektif Kristian

Kisah David vs Goliath diceritakan dalam 1 Samuel, bab 17 di Bible.

Raja Saul merupakan pemimpin orang Israel yang dilantik oleh nabi Samuel atas perintah Tuhan. Ketika ini orang Israel sering diserang oleh bangsa Philistine (keturunan Arab Palestin sekarang) yang diketuai oleh pemimpin mereka, Goliath.

Diceritakan dalam Bible, Goliath merupakan pemimpin yang berbadan besar dan tinggi umpama gergasi.

Setiap 2 hari, Goliath akan datang mencabar orang Israel untuk bertarung menentangnya. Tetapi Raja Saul dan orang-orangnya takut dengan Goliath. Raja Saul menawarkan hadiah kepada mana-mana rakyat pimpinannya yang berani dan boleh menewaskan Goliath.

Semua orang Israel terlalu takut untuk menyahut cabaran Goliath kecuali David. Raja Saul yang terkejut dengan keputusan David, menawarkan David untuk menggunakan perisainya.

Tetapi David menolak tawaran tersebut. Sebaliknya David mencabar Goliath yang bersenjatakan lembing dan perisai, dengan hanya memakai lastik dan 5 biji batu.

Ketika Goliath mahu mula menyerang, David melastik sebiji batu yang singgah tepat ke dahi Goliath. Goliath tumbang dan kemudian, memenggal kepala Goliath.

Dalam perspektif Kristian, kemenangan David ini adalah simbol tanda kebenaran agama yang dibawa oleh keturunannya iaitu Jesus.

Kisah David vs Goliath dalam Islam

Dalam Islam, kisah David vs Goliath diceritakan dalam surah al-Baqarah, ayat 246-252.

Dalam al-Quran, ia menceritakan tentang orang-orang bani Israil yang meminta Nabi Samuel untuk melantik pemimpin untuk mereka kerana pada ketika itu, negara mereka sedang teruk diserang oleh tentera Jalut (dipanggil Goliath dalam Bible).

Mereka mahu pemimpin baru ini mampu memimpin mereka untuk berperang menentang Jalut (Goliath) dan para tenteranya.

Tetapi nabi Samuel meragui kesungguhan kaumnya sendiri untuk berperang atas perintah Allah kerana mereka sudah banyak melanggar perintah Allah sebelum ini.

Orang bani Israil terus merayu kepada nabi Samuel dan dipetik dalam surah al-Baqarah ayat 246 berkata:

“Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?”

Pemimpin baru dilantik

Nabi Samuel memohon kepada Allah untuk mengurniakan petunjuk tentang pemimpin bani Israil yang akan mengetuai perang mereka ke atas Jalut (Goliath) dan para tenteranya.

Allah memakbulkan doa nabi Samuel. Atas perintah Allah, nabi Samuel kemudiannya melantik seorang pengembala keldai muda miskin yang bernama Talut (dipanggil Saul dalam Bible).

Apabila mendengar yang Talut (Saul) bakal menjadi pemimpin mereka, orang bani Israil meluahkan kekecewaan mereka terhadap perintah Allah, seperti yang dipetik dalam surah al-Baqarah ayat 247 yang bermaksud:

“Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?”

Nabi Samuel membalas:

“Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”.

Untuk memuaskan hati bani Israil dan menunjukkan kebenaran perintah-Nya, Allah mengurniakan peti Tabut (dipanggil The Ark of Covenant dalam Bible) yang berisi kebenaran (sakinah) daripada keluarga nabi-nabi Musa dan Harun.

Dengan adanya peti Tabut, bani Israil akhirnya yakin dengan perintah Allah dan melantik Talut (Saul) sebagai pemimpin mereka.

Melanggar perintah Allah lagi

Ketika Talut (Saul) memimpin bani Israil untuk pergi berperang menentang Jalut (Goliath), beliau mengeluarkan arahan seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 249 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”.

Majoriti orang bani Israil melanggar arahan Talut (Saul). Mereka meminum air sungai itu sepuas-puasnya kecuali sebahagian kecil yang taat. Salah seorang ahli tentera Talut (Saul) yang taat adalah nabi Daud (dipanggil David dalam Bible) yang ketika itu masih muda.

Tentera yang melanggarkan arahan Talut (Saul) diarahkan pulang.

Kini Talut (Saul) dan sejumlah kecil tenteranya yang taat terpaksa berhadapan dengan Jalut (Goliath) dan bala tenteranya yang besar dan gagah. Tentera Talut (Saul) yang taat berdoa kepada Allah seperti yang dipetik dalam surah al-Baqarah ayat 250 yang bermaksud:

“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Atas izin Allah, tentera bani Israil pimpinan Talut (Saul) berjaya menumpaskan tentera Jalut (Goliath). Dalam peperangan tersebut, Nabi Daud berjaya membunuh Jalud (Goliath).

Sebagai mengenang jasa Nabi Daud, Talut (Saul) telah mengahwinkan anak perempuannya dengan Nabi Daud. Hasil dari perkahwinan itu, lahirlah nabi Sulaiman (dipanggil King Solomon dalam Bible).

Pengajaran kisah Talud vs Jalud

Dalam perspektif Islam, kemenangan tentera Jalud ini adalah peringatan daripada Allah kepada manusia tentang kekuasaan-Nya.

Walaupun tentera Jalut (Goliath) lebih ramai dan kuat berbanding tentera Talut (Saul), Allah berjanji akan memberikan kemenangan kepada hambanya yang beriman.

Kesimpulan

Sekiranya anda terbaca terma ‘David vs Goliath’ dalam mana-mana artikel bola sepak British, kini anda tahu latar belakang kisahnya dari perspektif Kristian dan Islam.

Seperti tentera Talud (Saul) yang kecil, pasukan-pasukan kecil boleh menewaskan pasukan-pasukan besar yang jauh lebih kaya dan kuat seperti yang dibuktikan Perlis dalam kempen Piala Malaysia 2004.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN