Ilija Spasojević Ucap Salam Perpisahan, Hargai Mat Zan Kerana Kenal Pasti Kekuatannya

Rasanya macam seperti baru semalam kami melihat Ilija Spasojević merangkul Anugerah Kasut Emas Malaysia 2016 di majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan di Hotel Geno, Shah Alam.

Kerana ketajamannya di depan gol, Melaka United hanya mengambil masa semusim sahaja untuk dinaikkan ke Liga Super dari Liga Premier. Musim lepas, Spasojević menjaringkan 24 gol dalam 100Plus Liga Premier 2016.

24 gol yang dijaringkan oleh Spasojević ini merangkumi 50% jumlah gol Melaka United dalam 100Plus Liga Premier 2016!

Sumber: PFAM

Bagaimanapun selepas Melaka United dipromosi ke Liga Super, Spasojević mengalami sedikit kesukaran untuk mengulangi prestasi sama.

Pertukaran staf kejurulatihan pada awal musim langsung tak membantu beliau. Kecederaan beliau pada awal musim juga menggugat tempat beliau dalam pasukan. Penurunan prestasi pemain yang digelar Spasogoal ini turut mempengaruhi prestasi keseluruhan pasukan.

Akhirnya pada Jun 2017, hayat karier Spasogoal di Melaka United berakhir. Beliau digantikan oleh bekas penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic dalam jendela perpindahan kedua yang ditutup pada 11 Jun 2017 lepas.

Mesej perpisahan Spasojević

Bersempena penamatan kontraknya di Melaka United, Spasojević menulis satu mesej perpisahan pendek untuk semua warga kelab Melaka United.

“Betapa hebatnya pengalaman bermain untuk Melaka United sepanjang 18 bulan yang lepas,” tulis penyerang berbangsa Montenegro itu.

“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana sokongan yang berterusan di luar dan dalam padang.”

Spasojević turut berterima kasih kepada semua barisan kejurulatihan Melaka United. Beliau turut memberi penghargaan khas kepada bekas ketua jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris.

“Terima kasih kepada semua jurulatih yang melatih saya selama ini, terutamanya coach Mat Zan yang mengenalpasti kekuatan saya dan membolehkan saya bermain secara terbaik.”

Pihak pengurusan Melaka United turut dihargai oleh Spasojević.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan kelab dan semua staf yang menjaga saya dan keluarga.”

Akhir sekali, Spasojević merakamkan penghargaan kepada penyokong Melaka United dan menggesa mereka supaya terus menyokong pasukan.

“Dan akhir sekali, terima kasih paling besar sekali untuk orang-orang Melaka dan penyokong kelab yang hebat. Kasih sayang anda kepada kelab sangat mengagumkan. Teruskan menyokong pasukan seperti biasa.”

“Saya mungkin tak dapat menyarung jersi [Melaka United] lagi tetapi saya sentiasa akan menjadi keluarga Melaka United. Gegau Melaka gegau!”

Sumber: Illija Spasojević

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN