Liverpool dan Manchester United. Liga Inggeris mempunyai banyak perlawanan derbi. Tetapi mungkinkah ‘Derbi Barat-Laut’ ini adalah yang terpanas di England?
Pada Mac 2015, seramai 700 juta penonton yang menyaksikan perlawanan ini. Ia jauh lebih tinggi berbanding dengan El-Clasico pada Mac 2015 dengna 400-500 juta tontonan. Manakala final UCL pada Jun hanya 180 juta tontonan.
Pada tahun lalu, perlawanan ini menarik sehingga 901 juta penonton dari seluruh dunia untuk menyaksikan ianya secara langsung.
Ini sudah cukup untuk menyimpulkan perlawanan ini paling menjadi tumpuan di dunia dan paling banyak membuatkan manusia meninggalkan apa jua mereka lakukan untuk 90 minit.
Perseteruan kedua-dua buah kelab menyaksikan tidak ramai pemain yang pernah beraksi untuk kedua-dua buah kelab sepanjang karier mereka, kecuali untuk 5 pemain ini!
1. Tom Chorlton
Tom Chorlton menjadi pemain pertama yang melakukan perpindahan secara terus melibatkan kedua-dua buah kelab. Chorlton beraksi untuk Stockport County dan Accrington Stanley sebelum menyertai Liverpool pada 1904.
Pada peringkat awal kariernya di Liverpool, Chorlton sukar mendapatkan peluang untuk berada di dalam kesebelasan utama pemain. Chorlton hanya tampil sebanyak 39 kali pada 4 musim pertamanya bersama kelab Merseyside itu.
Musim 1908/09 barulah, karier Chorlton di Anfield mengalami perubahan dan diturunkan secara lebih kerap.
Chorlton turut membantu Liverpool muncul juara Liga Divisyen Dua pada musim 1904/05 dan merekodkan 121 penampilan untuk The Reds. Chorlton adalah seorang pemain pertahanan namun masih mampu menjaringkan 8 gol untuk Liverpool.
Pada 1912, Tom Chorlton menyertai Manchester United, namun hanya tampil 4 kali untuk United. Beliau akhirnya menamatkan karier bola sepaknya di bandar Manchester, bersama sebuah kelab yang dikenali sebagai Stalybridge Celtic.
2. Phil Chisnall
Penyerang berbangsa Inggeris ini memulakan karier profesionalnya pada 1959 dan menjaringkan 10 gol daripada 47 penampilan di antara 1959 sehingga 1964.
Pengurus legenda Liverpool, Bill Shankly terpikat dengan aksi Chisnall ketika beliau beraksi bersama pasukan England B-23 di dalam kemenangan 4-2 ke atas Jerman B-23 di Anfield.
Chisnall lantas dibawa ke Anfield dengan nilai perpindahan £25,000, namun hanya tampil 9 kali untuk Liverpool.
Chisnall mengakui beliau sukar mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama Liverpool pada masa itu, namun tidak pernah menyesali dengan keputusan berpindah daripada Old Trafford untuk ke Anfield.
“Ia tidak seperti yang saya kehendaki, namun saya tidak pernah menyesal untuk memilih ke Anfield. Liverpool memiliki skuad yang hebat dengan pemain seperti Ian St John, Ian Callaghan, Peter Thompson, Roger Hunt, Willie Stevenson, Gordon Milne dan Tommy Smith. Maka ianya bukan perkara yang mudah untuk berebut tempat di dalam kesebelasan utama.”
Chisnall kemudiannya menyertai Southend United, di mana beliau memulihkan reputasi beliau dengan 31 jaringan dan tampil dalam 160 perlawanan untuk kelab tersebut.
Phil Chisnall akhirnya bersara pada usia 29 tahun akibat daripada kecederaan lutut yang dialaminya dan kali terakhir tampil untuk Stockport County.
3. Peter Beardsley
Penyerang England ini dibawa oleh Ron Atkinson ke Manchester United dari Vancouver Whitecaps pada 1982. Namun Beardsley hanya tampil dalam 1 perlawanan untuk United dalam aksi Piala Liga ketika menentang Bournemouth sebelum kembali ke Whitecaps.
Beberapa bulan kemudian, Beardsley kembali ke England untuk menyertai Newcastle United dan mencipta nama untuk dirinya di saingan Liga Divisyen 1.
Ketika Alex Ferguson mengambil alih Manchester United pada 1986, pengurus Scotland itu cuba untuk memancing kembali Beardsley pada tahun berikutnya.
Namun demikian, Peter Beardsley memilih untuk menyertai seteru Manchester United, Liverpool.
Selama 5 musim di Merseyside, Beardsley muncul sebagai pemain terbaik Liga Inggeris pada era itu dan turut memenangi deretan trofi bersaa Liverpool.
Beardsley tampil sebanyak 175 kali dan menjaringkan sejumlah 59 gol untuk The Reds, menjuarai 2 gelaran liga dan juga Piala FA.
Peter Beardsley turut menjaringkan hatrik ketika membantu Liverpool membelasah Manchester United dengan jaringan 4-1, sebagai peringatan atas kesilapan yang pernah kelab Manchester itu lakukan terhadapnya.
Beliau meninggalkan Anfield pada 1991 sebelum menyertai musuh setempat Liverpool, Everton dengan nilai perpindahan £1 juta.
Ironinya, Liverpool tidak pernah bergelar juara Liga Inggeris sejak era Peter Beardsley sehingga kini.
4. Paul Ince
Bekas pemain tengah England, Paul Ince memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama West Ham. Beliau menyertai Manchester United pada 1989 di bawah era Alex Ferguson dengan nilai perpindahan £1 juta.
Ia adalah nilai yang sangat berbaloi untuk seorang pemain dengan kaliber yang dimiliki oleh Ince.
Ince tampil sebanyak 281 kali dan menjaringkan 29 gol untuk skuad The Red Devils, menjuarai 2 gelaran liga Inggeris, 2 kejuaraan Piala FA dan juga Piala Liga.
Pada 1995, Ince berhijrah ke Itali untuk menyertai Inter Milan dan kembali ke England 2 tahun selepas itu untuk menyertai Liverpool juga dengan nilai perpindahan £1 juta.
Paul Ince adalah satu-satunya pemain yang pernah dijadikan kapten pasukan oleh Manchester United dan Liverpool. Di Anfield, Ince tampil sebanyak 81 kali, menjaringkan 17 gol, namun tidak memenangi sebarang trofi sepanjang karier beliau di Merseyside.
Sudah tentu penyokong Manchester United pada era itu akan mengingati bagaimana Ince meraikan jaringan penyamaan yang dihasilkan oleh beliau ketika bertemu United untuk mengikat kedudukan 2-2.
Ince meraikan jaringan dengan penuh teruja di hadapan penyokong Liverpool. Ince akhirnya bersara di Macclesfield Town selpas 2 musim bersama Liverpool.
5. Michael Owen
Michael Owen dianggap sebagai salah seorang produk akademi Liverpool yang paling berjaya. Debut pertama Owen bersama skuad senior Liverpool ialah ketika mentang Wimbledon pada 1997, dan beliau hanya memerlukan 16 minit untuk berada di dalam senarai penjaring.
Owen menjaringkan sejumlah 158 gol melalui 287 penampilan untuk Liverpool. Beliau turut memenangi Piala FA, Piala Liga dan juga Piala UEFA bersama kelab Merseyside tersebut.
Kejuaraan treble pada 2001 itu menyaksikan Owen dinobatkan dengan anugerah Ballon d’Or pada musim tersebut.
Maka tidak hairanlah Real Madrid kemudiannya tampil untuk membawa Owen ke La Liga untuk digandingankan dengan deretan ‘Galaticos’ seperti Ronaldo, Luis Figo, Raul, Zinedine Zidane dan juga David Beckham.
Owen hanya beraksi semusim di Santiago Bernabeu, sebelum kembali ke EPL dan menyertai Newcastle United.
Karier Owen sering kali diganggu oleh beberapa siri kecederaan dan ramai mulai meragui kebolehannya. Selepas menjadi pemain berstatus ‘tanpa kelab’ pada 2009, Owen dibawa oleh Sir Alex Ferguson untuk menyertai Manchester United.
Kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh Owen di Old Trafford semestinya adalah jaringan minit ke-96 yang memberi kemenangan kepada Manchester United ke atas musuh setempat mereka, Manchester City.
Michael Owen juga merupakan sebahagian daripada skuad Manchester United yang bergelar juara EPL pada musim 2010/11.
Rumusan
Apa pendapat anda akan perlawanan di antara kedua-dua buah pasukan pada hujung minggu ini? Jelas sekali pertemuan pada kali ini adalah berbeza berbanding ketika era pemain-pemain di atas?
Siapa pun yang akan tampil sebagai pemenang dalam perlawanan ini, sudah pasti sukar untuk kita mencari pemain yang akan berpindah di antara kedua-dua buah kelab.
Atau jika kami terlepas pandang, sila nyatakan di ruangan komen. Di masa hadapan, siapa tahu? Mungkinkah Philippe Coutinho akan berhijrah ke Old Trafford? Atau Paul Pogba akan menjadi kapten Liverpool?