Quantcast

KOMUNITI

Ketinggalan 0-2, Subang Protap FT Jaring 4 Gol Benam Shah Alam United FC

Perlawanan ini merupakan calon perlawanan terbaik bagi SCL2017. Penganalisis bola sepak, Dez Corkhill betul-betul memilih perlawanan yang betul malam semalam untuk menyaksikan Selangor Champions League 2017 buat kali pertama.

Perlawanan yang pada mulanya kelihatan seperti game over kepada Subang Protap FT selepas ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, berubah sekelip mata apabila Sayed Muhammad menjaringkan gol pertama Subang Protap FT pada minit ke-50.

Selepas gol tersebut, Subang Protap FT hanya memerlukan 20 minit sahaja untuk melengkapkan comeback mereka.

Perlawanan bermula dengan tempo yang rendah dari kedua-dua pasukan. Tetapi Shah Alam United FC merupakan pasukan yang mengawal permainan pada separuh masa yang pertama.

Bagaimanapun penyerang utama Subang Protap FT, Razzmir Ashraff terlebih dahulu berjaya mencipta peluang seawal 5 minit.

Lariannya membuka peluang tetapi beliau mengambil masa yang lama untuk membuat sepakan selepas bek tengah Shah Alam United FC cepat untuk menghalang dengan hadangan yang tepat pada masanya.

Seperti biasa, penyerang import Shah Alam United FC, Azeez Akeem ada kalanya sedikit tamak di dalam situasi yang memerlukan dia untuk membuat hantaran yang lebih cepat untuk meneruskan build up serangan mereka.

Namun Akeem masih berjaya mencipta lebih banyak peluang berbanding rakan sepasukannya yang lain.

Pada minit ke-20, hantaran lintang yang sangat cantik kepada Akeem yang berada di dalam kotak. Disebalik kawalan bola yang cukup mantap, Akeem tetap gagal menyudahkan peluang keemasan ini.

Akeem bagaimanapun tidak berputus asa. Pada minit ke-26, sepakan percuma beliau dari sebelah kanan padang terus membolosi gawang gol Subang Protap FT.

Pada minit ke-33, Akeem sekali lagi menerima hantaran ke dalam kotak dan berjaya membuat tandukan padu ke tanah yang memantul ke arah gol. Namun penjaga gol Protap FT, cekap menepis bola tersebut dengan refleks yang pantas.

Ketinggalan 0-1 dan kerap diserang oleh Shah Alam United FC, Protap FT berpeluang melakar satu gol melalui percubaan pemain sayap kanan, Aimanurrahman. Bagaimanapun beliau gagal menyempurnakan peluang yang ada.

Separuh masa pertama tamat dengan jaringan 1-0 kepada Shah Alam United FC.

Pada separuh masa kedua, Shah Alam United FC meneruskan dominasi mereka. Tidak lama kemudian pemain tengah mereka, Naim Mukhtar, melepasi perangkap ofsaid sebelum membuat larian solo melepasi 3 pertahanan Subang Protap FT dan menjaringkan gol kedua pasukannya.

Bagaimanapun selepas gol kedua tersebut, Shah Alam United bagaikan hilang punca. Sebaliknya Protap pula mula mendapat rentak mereka. Pada minit ke-50, sepakan sudut Protap disambung oleh tandukan Sayed Muhammad.

Protap terus menekan SA United dengan harapan untuk mendapatkan gol penyamaan. Dengan masa hanya tinggal kurang dari 13 minit sahaja, Hafizul Helmi menyumbat gol ke-2 Subang Protap FT selepas penjaga gol lawan gagal menangkap kemas percubaan rakan sepasukannya.

Bagaikan dirasuk saka, Subang Protap FT semakin bernafsu – kali ini untuk memburu gol kemenangan pula. Kurang seminit selepas gol kedua, Syafiq Abdul Hamid menjaringkan gol ke-3 pasukannya. Semuanya berpunca daripada pertahanan Shah Alam United FC yang longgar.

Tidak cukup dengan itu, Subang Protap FT menamatkan sisa-sisa harapan Shah Alam United FC dengan dengan menjaringkan gol keduanya hasil sepakan percuma yang cantik dari sebelah kanan.

Statistik perlawanan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!