Daripada 22 pemain yang bersama skuad B-23 negara, untuk jentera tengah, hanya tinggal 4 pemain yang boleh difikirkan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.
Kalau ada pengguguran, maka situasi posisi tersebut sangat parah. Ketiadaan Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba telah mengurangkan seleksi pilihan buat Kim Swee.
Azam dan Syamer adalah tunjang kekuatan posisi tersebut buat skuad B-23 dan sebagaimana umum ketahui, jentera tengah adalah nadi setiap pasukan.
“Di bahagian serangan kita ada beberapa pemain yang boleh isi slot mana-mana posisi.
“Di bahagian tengah kita hanya ada beberapa pilihan saja, saya nampak ada sedikit kelemahan di sana,” jelasnya kepada Harian Metro.
Kim Swee kini hanya memiliki Baddrol Bakhtiar, Danial Amier Norhisham, Faisal Halim dan Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk mengisi dua slot tetap pemain tengah.
Kim Swee diketahui ketika ini gemar menggunakan formasi 3-4-3 sejurus pulang daripada ‘pertapaan’ di kelab Liga Premier Inggeris (EPL), Queens Park Rangers.
Melihatkan formasi tersebut dan senarai pemain yang dimilikinya, sememangnya jentera tengah dilihat sangat bermasalah sekiranya berlaku perkara tak terduga.
Faisal Halim adalah pilihan kedua di Pahang dan hanya sekali beraksi dalam kesebelasan utama dalam saingan liga, sementara Nik Akif pula adalah tonggak skuad B-19.
Wira skuad Kim Swee ketika layak ke suku akhir saingan Kejohanan AFC B-23, pada Januari lalu, Danial Amier pula dilaporkan mengalami kecederaan ketika ini.
Maka, tinggal Baddrol sahaja yang memiliki pengalaman, namun posisi tengah adalah posisi sekundernya kerana kekuatannya adalah di bahagian sayap.
Dalam pertembungan menentang China B-23 pada Ahad lalu yang menyaksikan mereka tewas 1-2, Kim Swee menggandingkan Baddrol dan Nik Akif buat julung kalinya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan 4 pemain yang cedera dan tidak melaporkan diri untuk kembali, Kim Swee jelas sudah tidak mahu memikirkannya lagi.
“Buat masa ini tiada tambahan lagi, saya hanya tumpukan kepada pemain sedia ada.” ujarnya ringkas berhubung perkembangan situasi tersebut.
“Kita tahu kita hanya berlatih selama seminggu tapi kita masih dapat mengekalkan corak permainan kita.
“Kita kena perbaiki kelemahan kerana kita belum mendapat keserasian sepenuhnya,” jelasnya lagi yang ditemui Harian Metro di sesi latihan pusat kelmarin.