Bek kiri Arsenal, Kieran Tierney mengakui barisan pemain The Gunners sewajarnya di ‘boo’ oleh para peminat kelab tersebut susulan kekalahan ketujuh yang dialami mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Memulakan saingan liga dengan enam mata penuh dalam dua aksi awal, Arsenal kini berada dalam situasi sukar apabila hanya mampu menang empat perlawanan, satu keputusan seri dan tujuh kekalahan selepas mengharungi 12 perlawanan.
Keadaan tersebut meletakkan skuad bimbingan Mikel Arteta itu di tangga ke-15 dengan 13 mata. Semakin jauh ditinggalkan pendahulu liga yang merupakan musuh ketat mereka, Tottenham Hotspur dengan perbezaan 12 mata.
Penyokong Arsenal yang teruja untuk kembali buat pertama kali memasuki Emirates Stadium pasca serangan COVID-19 jelas hampa dengan aksi dipamerkan dan kemarahan mereka jelas terserlah apabila kedengaran bunyi ‘boo’ yang disasarkan kepada pemain.
Namun bagi Tierney, beliau tidak menyalahkan para peminat Arsenal bertindak sedemikian bagi meluahkan kekecewaan terhadap apa yang sedang dihadapi oleh kelab tersebut.
”Kami memang layak menerima ‘boo’ tersebut,” ujar Tierney menurut laporan dikeluarkan oleh Goal.
”Mereka datang ke sini dan memberikan sokongan kepada kami.”
”Kami tidak menunjukkan kepada pengurus [Mikel Arteta] tentang apa yang kami boleh lakukan dan sejauh mana kami mempercayai keupayaannya.”
”Setiap perlawanan ada petanda yang kami melakukannya dengan lebih baik tetapi ia masih belum cukup. Pada separuh masa pertama kami perlu untuk mendapatkan jaringan pendahuluan tetapi kami tidak melakukannya.”
”Kami bertuah kerana memiliki pengurus yang hebat. Kami hanya perlu mempamerkan sesuatu yang baik di atas padang,” tambah Tierney lagi.
Kredit featured image: Nick Potts – Pool/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Arsenal dan Kieran Tierney:
Aksi Kieran Tierney Jatuh Dibentes ‘Hantu’ Jadi Bahan Ketawa
Neil Lennon Beritahu Arsenal Bahawa Kieran Tierney Lebih Baik Daripada Wan Bissaka