Apa Sebenarnya Erti Sebuah FC?

Menjelang musim Liga Malaysia 2021 nanti, bermulalah era baharu bola sepak tempatan. Ia adalah era di mana semua pasukan Liga Super dan Liga Premier tidak lagi diurus oleh persatuan bola sepak (FA) masing-masing.

Bola sepak Malaysia mungkin sudah digelar ‘profesional’ sejak 1994 (apabila Liga Perdana ditubuhkan untuk menggantikan Liga Semi Pro). Tetapi realiti yang berlaku di peringkat pengurusan pada ketika itu masih jauh dari norma kelab bola sepak (FC) profesional yang sepatutnya.

Jika tidak kerana inisiatif AFC dan FAM (serta contoh terbaik di peringkat domestik dari JDT), barangkali amalan tersebut akan berterusan sehingga hari ini.

Barangkali sehingga hari ini kita akan melihat persatuan bola sepak mengabaikan program pembangunan akar umbi dek kerana terlalu sibuk mengurus pasukan senior.

Barangkali sehingga hari ini kita akan pasukan bola sepak di liga kita mengabaikan aktiviti komersial dek kerana terlalu selesa menarah duit cukai rakyat negeri.

Kerisauan kita yang paling utama ketika ini adalah pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak menghayati maksud sebenar menjadi sebuah FC. Kita takut nama sahaja bertukar dari FA ke FC, tapi gerak kerja mereka masih tak berubah.

Jadi amatlah penting bagi kita untuk memahami maksud sebenar FC – dengan menggunakan FC terbaik di Malaysia, JDT, sebagai contoh.

Apa maksud FC?

Apa yang kita faham dengan maksud FC? Secara asasnya, FC adalah satu entiti pengurusan pasukan bola sepak yang perlu keluar dari kepompong persatuan bola sepak. FC perlu berdikari dan berdiri dengan sendiri.

Untuk berdiri dengan sendirinya, sesebuah FC perlu mempunyai jabatan komersial yang sibuk 24 jam sehari 7 hari seminggu.

Kita boleh lihat sendiri ketika ini apabila pasukan lain sibuk mengumumkan kemasukan pemain baharu, JDT pula mengumumkan kemasukan penaja-penaja baharu – dari peringkat tempatan sehinggalah ke antarabangsa.

Perjanjian penajaan ini bukan sahaja memberi sumber kewangan kepada kelab, tetapi juga dapat memberikan JDT publisiti meluas. Terutamanya di arena antarabangsa. Tak hairanlah jika kita lihat satu-satunya kelab Malaysia yang paling banyak mendapat liputan terbesar daripada media luar negara, ia adalah JDT.

Tak banyak pengurusan kelab di Malaysia yang nampak keperluan untuk fokus ke arah ini melainkan pengurusan JDT.

Mengapa JDT memberi fokus lebih kepada aspek penajaan dan kolaborasi? Mudah sahaja. Ini kerana mereka satu-satunya kelab yang boleh memberikan pulangan menang-menang kepada setiap penaja mereka.

Penaja mana yang tak mahu bekerjasama dengan kelab yang mempunyai jenama yang kuat, fasiliti kelab bertaraf dunia, rekod kejayaan di peringkat domestik dan Asia serta penampilan pasti di pentas AFC Champions League?

Untuk mencapai tahap sebegini, ia bermula dengan langkah pertama yang betul.

Fasiliti berkualiti perlu dijadikan keutamaan FC

Untuk menjadi sebuah FC yang berjaya di dalam dan luar padang, langkah pertama yang wajib diambil adalah menyediakan fasiliti dan stadium yang berkualiti.

Apabila kita bercakap tentang fasiliti dan stadium yang berkualiti, kita tak sepatutnya meletakkan piawaian dari FAM dan MFL sebagai sasaran mutakhir. Ia turut mesti bersesuaian dengan spesifikasi dari AFC.

Perkara ini adalah sangat penting. Ia menjelaskan mengapa JDT sentiasa menambah baik fasiliti kelab mereka – walaupun sudah diakui mempunyai standard infrastruktur terbaik di Asia. Ini bermakna semua kelab Liga Malaysia turut melakukan perkara sama: sentiasa memberi fokus berterusan kepada usaha penyelenggaraan fasiliti kelab.

Standard tinggi perlu diikuti, bukan direndahkan

Sempena era baharu penswastaan Liga Malaysia ini, amatlah malang sekiranya mentaliti kita masih berada di takuk lama.

Mentaliti pengurusan FC baharu di Liga Super dan Premier perlu digubah jika kita serius mahu mengubah landskap bola sepak Malaysia supaya menjadi positif. Standard tinggi yang ditetapkan oleh JDT ketika ini sepatutnya dijadikan sasaran. Bukannya direngek-rengek dan minta direndahkan.

Bukankah kita juga akhirnya yang akan mendapat manfaat apabila semua FC di Malaysia berlumba-lumba untuk meningkatkan kualiti dan standard bola sepak tempatan?

Punca utama JDT menjadi FC paling berjaya dalam rekod bola sepak moden di Malaysia adalah kerana mereka telah memulakan kerja penggubahan mentaliti sejak 2013. Mereka paling awal cakna dengan pengurusan bola sepak moden!

Maka tak hairanlah sejak tujuh tahun lepas, JDT sudah mengecap pelbagai rekod kejayaan sehingga ke peringkat Asia.

Sekarang, bagaimana kita nak terjemahkan kejayaan JDT ini kepada skuad kebangsaan pula? Jawapannya mudah. Semua FC perlu mengikuti langkah JDT. Standard tinggi yang telah dicapai oleh JDT di dalam dan di luar padang perlu dicontohi. Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dipelajari dari mereka bagi memastikan setiap perkara yang perlu FC ada boleh dicapai dan bukan hanya coretan di atas kertas sahaja.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Penswastaan Pasukan Liga Malaysia: Apa Maksudnya, Syaratnya & Status Terkini?

TMJ, JDT Jadi Sumber Inspirasi Buat Kelab Indonesia Ini

Kalau Setiap Pasukan Di Malaysia Boleh Capai 50% Standard JDT, Liga Kita Akan Lebih Baik

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN