Tindakan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menukar ramai pemain atas desakan daripada penyokong mengundang rasa tidak puas hati daripada bekas pemain skuad Olimpik negara, Khalid Ali.
Khalid mengulas kepada Kosmo mengakui tidak menyangka alasan “penggiliran pemain” itu boleh terpacul keluar daripada mulut jurulatih berpengalaman seperti Tan Cheng Hoe.
“Tidak masuk akal. Jurulatih kebangsaan yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara serta menjaga imej negara (dalam sukan bola sepak) berbuat demikian, ia bermakna beliau memperjudikan nasib Harimau Malaya.
“Kita tahu bahawa 14 pemain JDT tersebut adalah pemain-pemain terbaik dalam liga kita buat masa ini. Jadi, kehadiran mereka adalah untuk membimbing pemain-pemain muda.
“Kemungkinan ada dorongan daripada pihak berkuasa atau pihak atasan sehingga ada alasan sebegitu rupa. Saya fikir jika andaiannya itu benar disebabkan menurut kata pihak atasan, maka mereka tidak sesuai untuk membimbing hala tuju bola sepak Malaysia.
“Saya selalu menegaskan kepada pegawai atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jangan cepat ‘koyak’. Baru sikit kena dengan desakan penyokong, mereka sudah ‘koyak’.
“Saya kena sedar bahawa kemajuan bola sepak kita masih jauh tapi pembentukan pemain-pemain muda ketika ini berada di landasan tepat. Kita kena sabar untuk melihat hasilnya,” katanya kepada Kosmo.
Skuad Harimau Malaya setakat ini masih gagal mencatat sebarang kemenangan selepas 11 perlawanan di peringkat antarabangsa apabila hanya mampu seri 2-2 dengan Mongolia yang dibarisi oleh pemain yang berstatus semi professional.
“Sukar untuk menelan hakikat bahawa kita masih kempunan untuk melihat kemenangan pertama sejak kali terakhir pasukan (Datuk) Ong Kim Swee berbuat demikian (menewaskan Kemboja 3-2) pada aksi Piala AFF Suzuki dua tahun lalu.
“Namun, kita nampak program-program pembangunan berjalan baik apabila skuad bawah 23 tahun (B-23) negara menunjukkan potensi pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di China Januari lalu, skuad B-19 akan bermain di AFC B-19 di Indonesia manakala skuad B-16 turut bermain di kejohanan Asia tersebut nanti.
“Namun, jika ada pegawai atasan sering mengambil keputusan begitu dengan terlalu memikirkan desakan peminat-peminat, mereka tidak sesuai membimbing bola sepak Malaysia,” katanya.