Khairul Amri Dan Hadin Azman Kembali Perkuatkan Cabaran FELDA United

“Dengan semua pemain telah kembali, saya rasa kami telah bersedia untuk persaingan mengelak penyingkiran,” laungan keazaman pengendali FELDA United, Nidzam Jamil.

Dipetik dari portal Goal, Nidzam Jamil nyata lega kerana rata-rata pemainnya yang mengalami kecederaan termasuk kapten, Hadin Azman dan juga pemain import terbaru mereka, Khairul Amri Mohd Kamal sudah kembali daripada kecederaan.

“Saya lega Jasazrin (Jamaluddin) telah pulih dan Kei Ikeda pula telah mendapat rehat yang cukup. Amri juga telah pulih, tetapi saya perlu lihat kembali pemulihannya pada Isnin,” ujarnya.

Khairul Amri baharu sahaja menyertai mereka pada jendela perpindahan kedua tempohari namun telah dirundung kecederaan pada penampilan sulungnya dalam saingan Shopee Piala FA.

Pemain utama skuad kebangsaan Singapura itu telah mengalami kecederaan pada minit ke-24 selepas bertembung dengan pemain import Kuala Lumpur, Paulo Josue dan dikhabarkan memerlukan tempoh selama enam minggu untuk pulih pada awalnya.

Tambah melegakannya adalah dengan kembalinya Hadin Azman yang telah turun beraksi untuk hampir 40 minit pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC, pada Sabtu lalu.

Hadin Azman, Kei Ikeda, Felda United
FOTO: Felda United FC

“Walaupun baru pulih, dia mempamerkan prestasi terbaik dan percaya akan membantu pasukan apabila bertemu Pahang nanti,” ujar Nidzam Jamil yang dipetik daripada Berita Harian.

Pada Sabtu lalu, The Fighters terikat 1-1 ketika melayan kunjungan Terengganu FC di Jengka, Pahang dan Hadin Azman telah masuk untuk menggantikan Sadam Hashim pada minit ke-46.

Menurutnya lagi, hanya Daniel Amier Norhisham yang masih belum pulih sepenuhnya dan sedang menjalani pemulihan.

Turut membanggakannya adalah aksi pemain-pemain muda seperti Faiz Mazlan, Zahril Azri Zabri dan Azim Rahim yang semakin matang beraksi dan mampu mengawal tekanan dengan baik.

“Saya gembira dengan cara permainan mereka pada malam ini (Sabtu), terutamanya Faiz Mazlan, Zahril Azri dan Azim Rahim. Pemain-pemain muda ini berjaya menyerap tekanan bermain untuk pasukan bawahan dan menonjolkan kematangan,” ujar Nidzam Jamil dalam sidang media tempohari.

FELDA United ketika ini terperosok di dasar liga dengan hanya 9 mata, dibezakan dengan 3 mata dari kedudukan selamat daripada penyingkiran yang kini dihuni oleh PKNP FC.

Berbaki lapan perlawanan lagi, FELDA United dilihat masih mampu untuk memperbaiki kedudukan liga dan menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Premier 2020.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN