Pasukan komuniti dari Terengganu, Kerteh FC kini sedang mencari pihak yang berhasrat untuk menjadi penaja kelab tersebut bagi ‘Live Streaming’ aksi pusingan kelayakan Piala FA Malaysia 2020.
Kelab yang baharu sahaja mengecapi nikmat selaku juara Piala Terengganu Amateur League (TAL) itu akan beraksi menentang Northern Lions FC di Stadium Mak Chili, Kemaman pada 16 Februari nanti.
Live Streaming yang merupakan inisiatif sendiri daripada pasukan ‘The Oilers’ itu akan dapat disaksikan di Balrz.tv dan di kesempatan tersebut, mereka turut membuka peluang untuk mana-mana organisasi untuk menjadi penaja ‘siaran langsung’ tersebut.
Sehubungan dengan proses pencarian penaja itu, terdapat dua pakej yang ditawarkan iaitu Gold dan Silver.
Pakej Gold bernilai RM1000 yang menyaksikan logo syarikat akan dipaparkan pada skrin sepanjang perlawanan berlangsung, ‘Lower Overlay’ akan dimainkan dengan lebih kerap dan memberikan ruang untuk video iklan dengan durasi 1 minit semasa ‘pre-match dan half time’.
Sementara itu bagi pakej Silver pula, Kerteh FC akan memaparkan ‘Lower Overlay’ bagi setiap lima minit.
Sekiranya melihatkan kepada ‘Live Streaming’ yang disiarkan oleh Balrz.tv pada aksi final Piala TAL tempoh hari, perlawanan di antara Kerteh FC dan Markless ST itu berjaya menarik tontonan lebih 101,000 ‘views’.
Ternyata ia merupakan satu perkembangan positif dan diharapkan dapat menarik minat organisasi untuk menjadi penaja kepada perlawanan yang amat penting buat skuad yang akan dibimbing Che Ku Marzuki itu.
Bagi anda (organisasi) yang berminat untuk membuat tajaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut, boleh terus menghubungi laman Facebook rasmi Kerteh FC.
Kredit foto: Kerteh FC