Mohd Rozi Taib: Kejayaan Kerteh FC Diluar Jangkaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Kerteh FC

Pengurus pasukan Kerteh FC, Mohd Rozi Taib mengakui bahawa pencapaian yang diraih anak buahnya adalah sesuatu yang tidak diduga oleh pihak pengurusan.

Dengan hanya menetapkan sasaran untuk dalam kalangan enam pasukan teratas di Liga Premier Terengganu Amateur League (TAL) 2019, para pemain Kerteh FC menghadirkan kejutan selepas muncul juara ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan sahaja lagi.

Kerteh FC mengesahkan kejayaan tersebut selepas berjaya menundukkan Unisza Rangers 1-0 pada aksi yang berlangsung di Padang Banggol Tokku, Kuala Terengganu kelmarin.

”Secara keseluruhannya pasukan ini telah mencapai sesuatu yang diluar dugaan pengurusan. Sasaran awal kami hanyalah untuk kekal berada dalam ‘top 6’ Liga Premier sebagai jaminan membolehkan kami terus bersaing dalam Liga Premier TAL musim hadapan.”

”Namun, pemain telah berusaha dengan luar biasa dan seterusnya menjadi juara Liga Premier yang mana tidak pernah kami fikirkan sebelum ini,” ujar Mohd Rozi bercakap ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA.

”Kami sedar bahawa kami adalah pasukan baru. Masih cetek dan mentah dalam cabaran liga amatur tertinggi negeri Terengganu. Sebagai pendatang baru, kami masih dalam proses mencari pengalaman dan membentuk identiti permainan tersendiri.”

”Alhamdulillah, sehingga hari ini pasukan sudah membentuk acuan dan gaya permainan yang sesuai dengan berisan pemain yang kami ada. Insyaallah kami akan teruskan usaha memantapkan lagi permainan kami bagi menghadapi cabaran Piala TAL 2019.”

”Namun, sebelum itu kami akan berhadapan dengan Raja Permin FC dahulu sebelum tirai Liga Premier TAL dilabuhkan minggu hadapan.”

Sebaik sahaja tamat saingan liga, Kerteh FC akan menghadapi cabaran Piala TAL 2019 yang menyaksikan pasukan tersebut layak secara automatik ke peringkat suku akhir.

Kredit foto: Kerteh FC

PERCUMA: Bandage Lekat Sendiri

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U