‘Kenapa Zeon Zoysia?’ – Seperti LEGO, Pengurusan JDT Tahu Kepentingan Membetulkan Teras Dalam Bola Sepak

JDT Lego

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan LEGO, sejenis permainan bongkah plastik kecil kegemaran golongan kanak-kanak yang boleh disusun menjadi apa-apa sahaja model seperti kenderaan, bangunan, robot, haiwan dan banyak lagi.

Diasaskan pada 1934 oleh seorang tukang kayu, Ole Kirk Christiansen yang berasal dari Billund, Denmark, syarikat ini berkembang dengan begitu pesat sehingga hari ini. Boleh dikatakan hampir setiap rumah di seluruh dunia mempunyai permainan LEGO.

Tapi tahukah anda, LEGO juga tidak terlepas daripada krisis kewangan yang membuatkan syarikat tersebut berdepan dengan situasi hampir muflis disebabkan bebanan hutang sebanyak $800 juta (RM3.5 bilion) pada tahun 2003.

Di era milenium, kepesatan dunia teknologi dan digital membuatkan permainan fizikal bergelut untuk bersaing dengan permainan video yang lebih mencuri perhatian golongan remaja dan kanak-kanak.

Cuba untuk memperbaiki keadaan, LEGO telah menggandakan produknya, menghasilkan permainan video dan filem sendiri dan membuka lebih banyak LEGOLAND. Malangnya semua strategi tersebut gagal.

Menyedari tindakan drastik perlu diambil, Jorgen Vig Knudstorp – bekas konsultan firma perundingan pengurusan perniagaan McKinsey – telah dibawa masuk dan dilantik selaku CEO baharu. Beliau seterusnya telah membentangkan solusi untuk segera menyelamatkan LEGO daripada terkubur.

Langkah pertama yang diambil adalah dengan membetulkan perkara teras, iaitu mengurangkan produk daripada 12,900 kepada 7,000 dan seterusnya membuat kajian terperinci terhadap kehendak pelanggan. Ia dibuat bagi mengembalikan fokus kepada core business mereka.

Selepas itu barulah LEGO meneruskan taktik pemasaran lain seperti mencipta produk untuk peminat dewasa yang membesar dengan jenama berkenaan serta bekerjasama dengan syarikat perfileman besar seperti Warner Bros dan Disney bagi menghasilkan filem berdasarkan watak-watak animasi popular.

Daripada sebuah syarikat yang hampir bankrup, syarikat ini kembali bangkit dan dianggarkan bernilai sekitar $7.7 bilion pada 2021 selepas membetulkan perkara teras dalam strategi perniagaannya.

Rumput dan teras bola sepak

Teras menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai kata erti yang sama seperti asas, tonggak, landasan, tunjang, prinsip dan rukun.

Jadi apakah teras dalam bola sepak?

Bagi sesetengah orang, mungkin prestij sesebuah stadium itu terlihat kepada kecantikan reka bentuk, kemegahan struktur binaan, jumlah kapasiti tempat duduk, kecantikan bilik persalinan, kemewahan ruang korporat dan kerusi merah Recaro di bangku simpanan.

Adakah semua ‘kecantikan kosmetik’ itu merupakan tunjang kepada kehebatan sesebuah stadium bola sepak?

Barangkali itulah yang terjadi kepada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang telah menelan kos sebanyak RM800 juta untuk pembinaannya pada 1995 dan kemudian RM1 bilion lagi dibelanjakan bagi proses penambahbaikan pada 2015.

Namun sejak pembukaannya 25 tahun lalu sehingga hari ini, stadium yang dijadikan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa itu kerap kali terpalit dengan imej buruk mengenai kualiti padangnya.

Bukankah rumput di atas padang itu sebenarnya merupakan teras yang cukup penting dalam permainan bola sepak?

Ketua Jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim pada awal Mac lalu pernah mengeluh mengenai keadaan padang yang tidak rata di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menjadi faktor pasukannya gagal bermain seperti yang diharapkan.

“Kami cuba nak main dan menjadi masalah kalau padang itu tidak rata kerana di dalam banyak katak melompat-lompat (sebab keadaan padang),” ujar bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich tersebut dalam sidang media selepas perlawanan.

“Jadi nak main kombinasi bola sepak seperti kita biasa bermain susah. Walaupun kita seri tapi kita cuba membina bermain bola. Bukan saya menghina sesiapa tetapi seseorang mesti betulkan padang itu supaya sesuai untuk bermain bola sepak.”

Berkongsi teknologi

Minggu lalu berlangsungnya Majlis Perasmian Penggantian Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri oleh pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Hadir sama adalah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Tan Sri Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia Mohd Faidz Sanusi serta Pengarah JDT, Khairy Jamaludin.

Kredit foto: KBS Malaysia

Dalam majlis tersebut, terdapat satu bongkah sampel lapisan padang yang mencuri perhatian. Bongkah itu adalah model lapisan yang digunakan di padang Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dan teknologi itulah yang akan dipasang pada padang SNBJ.

Mungkin ramai yang tidak sedar. Untuk menghasilkan padang yang berkualiti di sesebuah stadium, perbelanjaan besar sebenarnya bukanlah pada penanaman rumput semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah lapisan-lapisan di bawahnya iaitu setiap struktur material dan juga teknologi perparitan.

JDT yang cukup terkenal dengan kehebatan fasilitinya telah  memberi jaminan padang di SSI mempunyai teknologi yang akan memastikan air tidak akan bertakung sekalipun berlaku hujan lebat.

Berbekalkan kepakaran Hiroi Koichi, pakar rumput dari Jepun, padang di SSI mempunyai sembilan lapisan di mana setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri dan tekonologinya hanya satu-satunya di Asia.

‘9 Lapisan Dan Batu Gunung Berapi’ – Teknologi Yang Menjamin Padang Stadium Sultan Ibrahim Takkan Jadi ‘Bendang’

Lantas untuk melihat prospek padang SNBJ berubah menjadi ‘bendang’ seperti kejadian memalukan pada tahun lalu sudah boleh dielakkan dengan sistem perparitan istimewa yang telah diperkenalkan.

Selepas menubuhkan JDT pada 2013, apakah teras keutamaannya TMJ untuk memastikan pasukannya mendapat keputusan yang baik bagi setiap perlawanan? Jawapannya adalah kualiti padang.

Bermula dengan padang Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, semua fasiliti lain milik JDT di, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Stadium Mini Kulai, Stadium UTM, Pusat Latihan Padang Seri Gelam, dan juga Pusat Latihan Padang Mawar semuanya mendapat sentuhan yang sama.

Memperbaiki padang menjadi perkara utama yang ditekankan. Selepas perkara teras itu diselesaikan dan mendapat keputusan yang baik untuk perlawanan demi perlawanan, barulah JDT memikirkan soal lain untuk mengorak langkah lebih jauh seperti bekerjasama dengan jenama-jenama besar sehinggalah terdirinya SSI yang cukup megah di Iskandar Puteri.

Dominasi 13 trofi kejuaraan yang diraih di setiap peringkat umur pada tahun lalu adalah bukti nyata. Kejayaan itu diperoleh dengan memiliki pasukan yang boleh bermain dengan cantik di atas padang yang sempurna.

Maka tidak hairan mengapa TMJ mahu memberi manfaat yang sama kepada SNBJ yang menjadi ‘kandang’ buat skuad Harimau Malaya beraksi. Inilah sebenarnya asas yang dilupakan pengurusan skuad kebangsaan sejak berpuluh tahun lamanya.

Malah segala kos penanaman rumput Zoen Zoysia di stadium nasional itu ditaja sepenuhnya oleh pemilik JDT itu demi memastikan imej Malaysia terpelihara di mata komuiti bola sepak antarabangsa.

Bukan Sekadar ‘Cerita Kedai Kopi’ – TMJ Luluskan Cek Padang Baharu di SNBJ

Pada hari ini juga, skuad bimbingan Kim Pan Gon telah diberi peluang untuk menikmati semua fasiliti berkelas dunia milik JDT di Pusat Latihan Seri Gelam dan SSI bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong tempoh hari.

Zeon Zoysia dan bola sepak moden

Pemilihan Zeon Zoysia dibuat dengan mengambil kira hasil kajian yang dibuat selama bertahun-tahun untuk melihat sama ada ia mampu beradaptasi dengan iklim khatulistiwa di negara ini.

Nama ‘Zoysia’ diambil sempena nama seorang ahli Botani dari Slovenia, Karl von Zois (1756 – 1799). Terdapat beberapa spesis rumput Zoysia seperti Zoysia Japonica, Zoysia Matrella, Zoysia Tenuifolia dan Zoysia Emerald.

Kelebihan spesis ini adalah ia mempunyai cengkaman akar yang kuat serta mampu menghasilkan rumput yang padat dan tebal. Selain itu ia mampu pulih dengan cepat dan sukar untuk terkena ‘penyakit’ seperti kulat.

Kebanyakan negara yang menerapkan permainan bola sepak moden juga sudah mula beralih kepada rumput Zeon Zoysia demi mendapatkan keputusan yang positif.

Jadi apa kaitannya?

Padang dan bola sepak boleh diibaratkan seperti irama dan lagu. Ia tidak boleh dipisah. Secara asasnya, untuk bermain bola sepak dengan corak permainan yang menarik, padang yang baik dan berkualiti diperlukan.

Apabila padang cantik, pasukan yang beraksi di atasnya dapat bermain dengan cantik mengikut corak dan taktikal yang dimahukan.

“Bagi saya ia bukan satu alasan kerana peruntukan paling kurang dalam Liga Super hari ini adalah RM8 juta bagi sesebuah pasukan,” ujar TMJ selepas selesai merasmikan majlis penggantian rumput di SNBJ pada bulan lalu.

“Kos selenggara padang tak mencecah lebih daripada RM300,000 jadi apa logiknya tiada pasukan boleh jaga padang? Ada kelab dapat peruntukan berpuluh juta daripada kerajaan negeri takkan tak boleh jaga?

“Mungkin mereka tidak tahu apa-apa tentang bola sepak atau tiada kesungguhan terhadap sukan tersebut atau ada agenda jangka masa panjang.

“Kalau dilihat di mana-mana negara yang maju dalam bola sepak semua memberikan keutamaan terhadap padang dahulu kerana ia mencerminkan pengurusan kelab.”

Baginya inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan menerusi dana geran padanan kepada semua exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis ‘Zeon Zoysia’ adalah satu tawaran baik yang perlu disambut baik oleh semua pasukan.

Penutup

Berbalik kepada krisis kewangan yang pernah melanda LEGO, ia berjaya diatasi setelah syarikat tersebut kembali kepada teras perniagaan mereka. Begitulah juga yang sepatutnya ditekankan dalam sukan bola sepak.

Lihat sahaja bagaimana sudah berpuluh tahun lamanya kebanyakan pasukan di negara ini memandang enteng soal penyelenggaraan padang dengan alasan stadium tempat mereka beraksi itu bukan milik pasukan.

Sebaliknya fokus mereka lebih banyak diberikan kepada perkara-perkara lain seperti menggajikan pemain import dan menghasilkan jersi yang cantik, tetapi akhirnya ‘terkubur’ akibat kegagalan pengurusan kewangan kerana tidak pernah fikirkan soal keutamaan sebenar dalam bola sepak.

Sekiranya semua kelab di negara ini mempunyai padang yang berkualiti dan setiap pasukan dapat bermain mengikut corak dan taktikal yang dimahukan, ia akan menghasilkan pemain-pemain berkemahiran tinggi dan sudah tentu akan memberi manfaat kepada skuad kebangsaan.

Semua itu adalah kesan domino yang sudah pun disedari oleh TMJ sejak dahulu lagi. Itulah asbabnya mengapa beliau teramat kecewa dengan pasukan-pasukan yang enggan membuat perubahan ke atas rumput di stadium masing-masing.

Dengan penukaran rumput Zeon Zoysia di SNBJ, ia diharapkan mampu meningkatkan kualiti permainan skuad Harimau Malaya dan memulihkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN