‘9 Lapisan Dan Batu Gunung Berapi’ – Teknologi Yang Menjamin Padang Stadium Sultan Ibrahim Takkan Jadi ‘Bendang’

Padang Stadium Sultan Ibrahim

Masih segar di ingatan rakyat Malaysia peristiwa memalukan yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tatkala padang bola sepak berubah menjadi ‘sawah padi’.

Meskipun stadium tersebut sepatutnya mempunyai sistem perparitan di bawah padang, namun dek kerana hujan lebat yang turun sejak petang, membuatkan permukaan padang dibanjiri dengan air yang tidak surut.

Ia memaksa beberapa pekerja bertungkus lumus melakukan pelbagai cara dan kaedah ‘kuno’ untuk mengurangkan takungan air termasuk menggunakan penyodok dan kadbod.

Ia jelas merosakkan imej Malaysia selaku tuan rumah bagi aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 ini.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam responnya kepada media menjelaskan pihaknya sudah pun menasihati agar perlawanan dilewatkan untuk tempoh 30 minit bagi memberi masa agar air di atas padang mengalir keluar melalui saliran perparita di bawah padang.

Timbul persoalan, adakah padang di SNBJ ini benar-benar mempunyai sistem lapisan dan perparitan yang masih berfungsi dengan baik?

Sebaliknya kelab bola sepak di selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang cukup terkenal dengan kehebatan fasilitinya telah  memberi jaminan padang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri mempunyai teknologi yang akan memastikan ia tidak akan bertakung sekalipun berlaku hujan lebat.

Apakah sebenarnya rahsia mereka?

PSM mungkin tidak perlu mengeluarkan jutaan ringgit semata-mata untuk ‘membuat kajian’. Artikel ini sedikit sebanyak akan menjelaskan apakah teknologi yang digunakan oleh JDT untuk mengekalkan kualiti padang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskadar Puteri.

Sembilan lapisan

Untuk mendapatkan padang bola sepak terbaik di dunia, JDT memastikan ia diselia oleh penyelia rumput (groundsman) yang berpengalaman. Pada peringkat awal, Hiroi Koichi (penyelia rumput padang polo di Istana Pasir Pelangi) adalah orangnya.

Kini tugas tersebut diambil alih oleh Nigel Taylor dari Australia. Groundsman yang ditugaskan untuk menyelia setiap fasiliti milik JDT untuk berada dalam keadaan terbaik sepanjang masa.

Bukan sahaja Stadium Sultan Ibrahim, tetapi turut memberi tumpuan kepada padang-padang di fasiliti lain seperti Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Stadium Mini Kulai, Stadium UTM, Pusat Latihan Padang Seri Gelam, dan juga Pusat Latihan Padang Mawar.

Rumput padang yang digunakan di Stadium Sultan Ibrahim adalah dari jenis Zoysia Zeon, iaitu spesis rumput yang diimport dari Jepun dan hanya boleh ditemui di kebanyakan negara Asia Pasifik dan Australia.

Spesis ini mampu menghasilkan rumput yang padat dan tebal. Ia juga sukar untuk terkena ‘penyakit’ seperti kulat dan mampu untuk pulih dengan cepat. Lebih penting, rumput Zoysia Zeon boleh beradaptasi dengan iklim negara kita.

Untuk menghasilkan padang yang berkualiti di sesebuah stadium, perbelanjaan besar sebenarnya bukanlah pada penanaman rumput, tetapi apa yang ada di bawahnya.

Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh JDT, padang di Stadium Sultan Ibrahim kini mempunyai sembilan lapisan di mana setiap satunya mempunyai fungsi masing-masing dalam teknologi perparitan padang.

Gambaran 9 lapisan padang Stadium Sutan Ibrahim.

Ini adalah untuk memastikan air hujan yang membasahi padang akan diserap dengan pantas dan disalirkan ke longkang yang ada di sekeliling padang.

“Kebanyakan masalah padang di Malaysia adalah air bertakung. Jadi saya beri jaminan, teknologi yang ada di bawah rumput ini adalah satu sistem perparitan yang istimewa,” jelas Hiroi yang kini berusia 76 tahun.

“Berapa banyak pun air [hujan] turun ke atas padang ini, ia tidak akan bertakung. Itulah keistimewaan padang Stadium Sultan Ibrahim, teknologi ini satu-satunya di Asia.

Cowgrass adalah rumput yang biasa kita jumpa di negara ini, tetapi saya mencadangkan Zoysia Zeon kerana ia adalah rumput terbaik untuk sukan walaupun harganya mungkin lebih tinggi dan dari segi kos penyelenggaraan sudah tentu berbeza.”

Inilah Rahsia Kehebatan Padang Stadium Sultan Ibrahim

Dengan adanya sembilan lapisan ini, prospek melihat aksi bola sepak ‘sawah padi’ boleh dikatakan hampir mustahil – kecuali jika berlakunya kerosakan pada mana-mana bahagian daripada lapisan padang tersebut.

Batu zeolit

Bagi memastikan padang di Stadium Sultan Ibrahim mampu menyerap  dan menyalirkan air ke sistem perparitan dengan lebih pantas, Hiroi telah menemui satu bahan mineral sebagai penyelesaian iaitu batu zeolit.

Merujuk kepada artikel oleh Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek yang disiarkan menerusi portal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), zeolit (zeolite) adalah salah satu mineral yang terdapat di tanah gunung berapi.

Ia merupakan bahan bukan organik yang berbentuk kristal yang didalamnya terkandung ion-ion bercas positif  dan juga molekul-molekul air. Kerangka asas zeolit terdiri daripada silika dan alumina manakala kationnya pula boleh bertukar ganti dengan kation-kation lain.

Molekul-molekul air pula boleh disejatkan atau dinyahsejatkan, ini bermakna zeolit boleh menyerap air dan menyimpannya didalam kerangka zeolit dan juga molekul air tersebut boleh dikeluarkan sepenuhnya daripada kerangka zeolit.

Penyerapan sesuatu bahan ke dalam sesuatu bahan lain biasanya melibatkan tindakbalas kimia dan ia boleh diibaratkan seperti span yang menyerap air, sekaligus zeolit ini amat membantu dalam memastikan air hujan yang jatuh di atas padang tidak bertakung.

Ia sangat sesuai bertindak sebagai bahan tambahan kepada kesuburan tanah, kompos dan baja bertindak untuk mengumpul, menyimpan dan secara perlahan melepaskan nutrien baja yang kritikal.

Ini kerana zeolit dapat menahan kation-kation yang diperlukan dalam tanah dan seterusnya menukar dengan kation-kation lain yang diperlukan oleh tumbuhan.

Dalam bahasa mudah, penggunaan zeolit di padang Stadium Sultan Ibrahim bukan sahaja dapat memastikan penyerapan air yang lebih cepat apabila hujan, tetapi turut menjamin kesuburan rumput.

Kesimpulan

Maka tidak hairanlah mengapa sebelum ini Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersungguh-sungguh mahu membantu dalam projek membaik pulih SNBJ kerana beliau sudah ada bukti nyata yang boleh dilihat oleh semua orang di Stadium Sultan Ibrahim.

Kejadian memalukan di SNBJ tempoh hari sebenarnya boleh dielak jika pihak pengurusannya adalah orang yang berakal dan mempunyai kepakaran khusus dalam teknologi padang bola sepak.

Malangnya kita di Malaysia masih terikat dengan kebodohan apabila meletakkan individu-individu lantikan politik untuk memegang jawatan penting.

Leave a Reply