Oliver Kahn Dedah Alasan Mengapa Mane Bergelut Bersama Bayern Munich

CEO Bayern Munich, Oliver Kahn tampil mendedahkan sebab utama mengapa Sadio Mane gagal untuk membawa tahap persembahan terbaiknya ketika bersama Liverpool dan bergelut dengan masalah prestasi ketika bersama kelab baru.

Sadio Mane melengkapkan perpindahan ke Allianz Arena pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas enam tahun menabur bakti bersama Liverpool.

Bintang Senegal itu merupakan antara pemain terawal yang ditandatangani oleh Jurgen Klopp dengan beliau dibeli oleh Liverpool dari Southampton.

Tidak dinafikan lagi Mane sememangnya antara pembelian yang paling berbaloi untuk Liverpool dengan beliau cemerlang memberikan impak yang sungguh dahsyat bersama gergasi Merseyside itu.

Sadio Mane berjaya mencipta trio serangan yang sungguh luar biasa dahsyat bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino dengan mereka dianggap antara trio terhebat sepanjang zaman Premier League.

Gandingan penyerang tiga serangkai itu berjaya menghadiahkan Liverpool begitu banyak kejuaraan dan mereka turut sudah membantu The Reds menjulang semua Piala yang boleh dimenangi.

Bersama Bayern Munich, Mane memulakan kariernya di Jerman dengan sangat cemerlang dengan beliau menjulang DFL Supercub pada aksi perlawanan kompetetif pertamanya bersama kelab.

Mane bahkan turut berjaya menjaringkan gol ketika Bayern Munich menewaskan RB Leipzig 5-3 dalam aksi perlawanan akhir DFL Supercub itu.

Sadio Mane kemudiannya berjaya menjaringkan enam gol dan dua assists dalam saingan liga sebelum saingan Bundesliga berehat bagi memberi laluan kepada Piala Dunia.

Mane gagal untuk membuat kemunculan di pentas Piala Dunia Qatar bersama skuad kebangsaan Senegal kerana beliau dibelenggu masalah kecederaan.

Sejak beliau kembali pada penghujung Februari yang lalu, bintang berusia 31 tahun itu gagal untuk menjaringkan sebarang gol dari semua perlawanan yang beliau diturunkan.

Melihat kepada hal tersebut, ramai yang mula mempertikaikan tentang sumbangan dan kemampuan beliau, dan ada juga yang menganggap zaman beliau sudah berlalu.

CEO Bayern Munich bercakap tentang persembahan Sadio Mane

Mane masih lagi bermain di posisi sebelah kiri sejak dari awal beliau menyertai Bayern, namun peranan yang beliau bawa sedikit berbeza berbanding peranan beliau ketika bersama Liverpool.

Oliver Kahn yang juga merupakan penjaga gol Bayern Munich dari tahun 1991 hingga 2006 itu tampil mendedahkan sebab utama mengapa Mane bergelut bersama Bayern Munich.

Bercakap kepada Sky Sports, Kahn mendedahkan apa yang beliau rasa tentang persembahan Mane dan percaya yang bintang Senegal itu akan mampu untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya.

“Dia masih mencari diri dia.”

Jelas Kahn menurut The Athletic.

“Dia seorang pemain yang memerlukan banyak bimbingan. Dia tak biasa bermain dengan sistem yang kami ada di sini. Ia tak sama seperti Liverpool.”

“Kami harap dia akan serasi dengan kami tidak lama lagi. Saya sangat yakin dengan dia.”

Mane turut diturunkan pada aksi babak kedua dalam aksi pertemuan bertemu Manchester City di peringkat separuh akhir saingan Champions League awal pagi tadi.

Bayern Munich tewas 3-0 dalam perlawanan tersebut dan jelas sekali tugas berat menanti Mane dan rakan sepasukannya untuk aksi timbal balik di Allianz Arena nanti.

Mereka perlu menang dengan kelebihan 4 gol untuk melayakkan diri ke aksi perlawanan akhir saingan Champions League musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN