Penyokong wajar memberikan ruang kepada pengendali baharu Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain dalam membina empayar baharu Sang Kenari.
Bagaikan harimau lapar, penyokong menekan pasukan sedaya mungkin untuk menurut segala kemahuan mereka di saat pasukan baru dibentuk.
Antara isu yang dilihat sedang dihadapi Kedah ketika ini adalah sentuhan penyudah Willian Lira yang kurang menjadi meresahkan para penyokong.
Mereka meminta Nafuzi untuk segera menggantikannya dengan Jonathan Balotelli atau Ebenezer Assifuah yang menurut mereka tampil lebih baik.
Mengapa penyokong Kedah perlu faham erti tidak gelojoh di era Nafuzi?
Terengganu dibina selama tiga musim
Sedar atau tidak, Terengganu yang cemerlang di bawah kendaliannya sebelum ini mengambil masa selama tiga musim untuk matang.
🌏 JDT layak ke AFC Champions League 2023 sebagai juara Liga Super, manakala Terengganu FC turut menempah slot di AFC Cup 2023 sebagai naib juara.
Tahniah diucapkan! 👏
Satu lagi slot ke AFC Cup 2023 akan ditentukan selepas berakhirnya TM Piala Malaysia 2022.#LigaMalaysia2022 pic.twitter.com/GAI1x29odH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 15, 2022
Mereka mara ke Piala AFC selepas menduduki tangga kedua Liga Super 2022 – hanya dua mata dipisahkan daripada Sabah dengan 42 mata.
Selain itu, Nafuzi juga telah berjaya membawa mereka mara ke pentas final Piala Malaysia sebelum dikecewakan oleh Johor Darul Ta’zim 3-1.
Tanpa pemain bintang, beliau mengadun ramuannya selama tiga musim. Musim pertamanya adalah di pertengahan 2019 selepas mengambil alih daripada mentornya, Irfan Bakti. Mereka menamatkan musim di tangga ke-7 liga selain berhasil mara ke suku akhir Piala FA serta Piala Malaysia.
‘Nafuziball’ adalah frasa yang popular hasil permainan yang digubahnya.
Musim keduanya, Sang Penyu berada di kedudukan ke-3, hanya tiga mata dipisahkan Kedah yang mengutip 22 mata daripada 11 perlawanan. Ia juga musim tanpa saingan Piala FA dan Piala Malaysia angkara Covid-19.
Pada musim 2021, saingan sengit ditampilkan oleh Kedah, Penang dan Selangor. Mata di antara mereka tidak jauh dan Terengganu melabuhkan tirai musim tersebut di tangga ke-4 – hanya turun satu anak tangga.
Tetapi, mereka mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia ketika itu.
Dapat dilihat pencapaian yang baik daripadanya yang meraih gelaran Jurulatih Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022.
Azraai Khor pun ambil masa cipta ‘Double Treble’
Era ‘Double Treble’ mereka juga tidak dihasilkan dalam tempoh semusim.
Pengendali ketika itu, Azraai Khor Abdullah mengambil masa selama beberapa musim untuk mencipta skuad emas tersebut. Mereka hanya menuai hasil pada musim 2006/07 dan diteruskan pada tahun berikutnya.
Boleh kita label, itu skuad terbaik sejak 30 tahun bergelar Sang Kenari.
“Yang penting beri ‘coach’ Nafuzi Zain masa untuk membentuk ‘team’. Kena yakin dengan proses yang beliau rancang,” ungkap Azraai kepada media.
“‘Fans’ perlu sabar dengan perancangan ‘coach’ Nafuzi Zain. Saya dulu pun memerlukan dua tahun untuk menang Liga Premier untuk kembali ke Liga Super dan terus menjuarai ‘Double Treble’ 2007 dan 2008,” ulasnya lanjut.
Jika Azraai pun memerlukan masa membina legasi terbaik buat pasukan, begitu jugalah situasinya dengan Nafuzi ditambah cabaran era kini.
Dengan situasi JDT sukar digugat dalam penampilan segar musim ini, relevenkah untuk penyokong memberi tekanan tidak sepatutnya?
Lagipun kedudukan pasukan tidaklah seburuk yang disangka. Mereka berada di tangga ke-4 selepas lapan perlawanan Liga Super 2023.
Prestasi lapan aksi Nafuzi lebih baik berbanding Aidil?
Selepas lapan perlawanan pada musim lalu, Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak berada di tangga ke-2. Ia mungkin kedudukan yang baik, namun dari segi kutipan mata, musim ini tampaknya lebih cemerlang.
16 mata berbanding 13 mata pada musim lalu adalah satu pencapaian baik bagi skuad yang baru sahaja mula dibentuk tidak sampai semusim.
Aidil tewas tiga kali, sementara Nafuzi pula hanya dua kali. Jadi, kenapa penyokong Kedah perlu gelojoh meminta itu dan ini, pada ketika ini?
Bagaimana pula dengan musim pertama Aidil di skuad Jelapang Padi?
Selepas lapan aksi, Aidil membawa Kedah di kedudukan ke-3 dengan mengumpul 12 mata – juga kurang daripada pencapaian Nafuzi.
Oleh itu, penyokong Kedah wajar mempertimbangkan semula sikap gelojoh mereka pada saat ini. Ini adalah proses yang tentunya mengambil masa.
Daripada lapan perlawanan, mereka berdepan tiga perlawanan amat sukar antaranya bertemu Terengganu, JDT dan tentunya skuad ‘simpanan’ JDT, Sri Pahang yang memiliki beberapa pemain ternama antaranya daripada JDT.
Apa sasaran Kedah musim 2023?
Ketika ditemu bual pada awal pelantikannya sebagai pengendali Kedah, Nafuzi ada menjelaskan tentang sesuatu kepada Semuanya BOLA.
“Dia tengok atas pasukan [persediaan pasukan]. Sama ada pasukan dah ada pemain ‘ready made’ atau pemain-pemain muda. Tengok perancangan pihak pengurusan macam mana,” ungkapnya pada awal tahun lalu.
“Kalau kita mahukan kejayaan segera, kita kena cari pemain-pemain yang berpengalaman atau ‘ready made’ dan dari segi itu kena tengok bajet pula. Banyak faktor mempengaruhinya. Sebab itu Terengganu pasukan bajet kecil, sebab kita ‘develop’ pemain muda. Cuma ia mengambil masa,” tegasnya.
Daripada jawapannya, kita memahami apa yang cuba disampaikannya.
Tetapi, adakah Kedah pasukan yang dibina untuk meraih kejayaan segera?
Pemilik pasukan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pada Februari lalu telah mengumumkan sasaran Sang Kenari pada musim pertama Nafuzi.
“Kita memiliki sasaran yang agak umum dan cuba membawa pasukan Kedah ke kelompok empat pasukan terbaik Liga Super musim ini dan itu merupakan harapan kita,” memetik antara kenyataannya di portal Harian Metro.
“Manakala untuk mendapatkan piala pada musim ini pula, ianya merupakan satu bonus buat pasukan, selain kita juga mahu cuba untuk melayakkan diri untuk ke saingan peringkat Asia pada tahun depan,” jelasnya lanjut.
Selain itu, bercakap pula dalam segmen Bual Konti di Berita RTM, Dr Daud berkata, “Kita tahu Nafuzi adalah jurulatih baharu untuk Kedah, perlukan masa. Jadi fokus kita mungkin bukan tahun ni tapi tahun depan.”
Jadi, apa yang sudah dilalui mereka ketika ini masih lagi dianggap boleh diterima. Ya, mungkin masalah di jentera serangan itu adakalanya sukar diterima, namun, keputusan terletak di tangannya sebagai pengendali. Selagi Kedah masih di atas landasan sasaran yang ditetapkan, rasanya penyokong wajar bertenang dan tidak terlalu gelojoh menuntut itu dan ini.