Kenapa India Mengidam Sangat Sertai Pestabola Merdeka? Inilah Puncanya

India Pestabola Merdeka 2023 Sunil Chhetri

Drama bermula apabila dikatakan India tidak dijemput menyertai kejohanan jemputan tertua di Asia, Pestabola Merdeka yang bakal dihidupkan semula.

Mengapa India dilihat begitu terkesan apabila dikhabarkan tidak dijemput?

Kisahnya bermula apabila India dikatakan tiada dalam senarai jemputan dengan Vietnam, Thailand, Syria dan Palestin dikhabarkan bakal dijemput.

Khabar angin ini dikongsi oleh laman sosial, Asean Football beberapa hari lalu. Turut dikatakan ia akan berlangsung sekitar September tahun ini.

Malaysia merancang untuk menghidupkan semula Pestabola Merdeka selepas 10 tahun (kali terakhir dianjurkan pada 2013). Kejohanan dijadualkan pada September tahun ini. Antara negara yang menjadi sasaran FAM untuk dijemput adalah Vietnam, Thailand, Syria dan Palestin,” titip Asean Football.

India yang cadangkan, tapi tak dijemput pun?

Ia menjentik hati nurani penyokong bola sepak India yang terus berang. Ini kerana, bagi mereka, Blue Tigers wajib berada dalam kejohanan tersebut.

Satu komen yang menarik perhatian adalah ada dikalangan mereka yang berkata, mereka yang memberikan cadangan, kenapa tidak dijemput?

Sekitar Oktober 2022, Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey telah mencadangkan agar Pestabola Merdeka dikembalikan. Ini kerana, menurutnya, India memiliki pertalian silam dengan kejohanan tersebut apabila pernah menyertainya di era 50-an dan 60-an.

Chaubey merupakan presiden baharu AIFF selepas konflik dalaman dan ini adalah salah satu inisiatifnya untuk memeriahkan semula bola sepak India.

Menurut laporan media, Chaubey berusaha memujuk Malaysia kembalikan kejohanan bersejarah tersebut dan ia menampakkan sinar positif. “Presiden FAM maklumkan kepada saya yang mereka sedang berusaha kembalikan kejohanan tersebut, mungkin pada tahun depan,” ungkapnya penuh harapan.

Dan jika ia berlaku, dia berkata yang mereka bakal menjemput India untuk menyertai kejohanan tersebut nanti,” tambahnya lanjut mengenainya.

Jadi apabila dikatakan tidak dijemput, ia pasti mengundang amarah.

Platform untuk bertemu pasukan-pasukan Asia

Ia juga menjadi platform untuk bertemu pasukan-pasukan terbaik di Asia untuk pasukan kebangsaan kita. Untuk tampil beraksi di perlawanan kompetitif antarabangsa. Ia perkembangan baik untuk kami,ungkap Chaubey kepada sebuah portal dari India, Press Trust of India (PTI).

Walaupun kejohanan tersebut dilihat sudah semakin pudar nilainya kini berbanding pada satu masa dahulu, tetapi bagi Chaubey, ia tetap berprestij.

FAM perlu berusaha untuk memikat negara-negara yang berada di ranking lebih baik sebagai permulaan. Kejohanan ini ada nilai estetika tersendiri.

Walaupun hanya kejohanan jemputan atau mungkin ‘membazir masa’ bagi sesetengah penyokong, tetapi ia mempunyai nilainya yang tersendiri sama ada di kalangan penyokong ‘otai’ dan majoriti bekas pemain skuad negara.

Antara kesalahan FAM dalam isu ini semestinya adalah apabila kerap mengenepikan kejohanan ini. Kejohanan berprestij sebegini kian hilang ditelan dek zaman bermula pada penghujung 80-an. Jika dihitungkan, sebanyak 24 edisi ia tidak dianjurkan. Secara tidak langsung, ia telah menghilangkan prestij penganjurannya waima ia kejohanan jemputan.

Aspek penganjuran yang tidak konsisten sebegini mengurangkan minat dan tarikan daripada pasukan-pasukan utama di dunia terhadap kejohanan ini.

Selain itu, lagenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh turut berkongsi pendapatnya kepada portal FMT yang segalanya bermula dengan tindakan FAM yang dilihat ketika itu mula menurunkan bukan pemain-pemain utama.

Kurang minat pasukan berkualiti untuk jadi lawan

Untuk menghidupkannya kembali, FAM perlu menurunkan skuad utama Harimau Malaya selain cuba mencari negara yang rankingnya lebih baik.

Setiap pasukan akan kembali merasai kehangatan kejohanan ini seperti mana kejohanan King’s Cup di Thailand yang masih lagi aktif dianjurkan.

India memiliki memori lama dengan kejohanan ini. Mungkin disebabkan itu, Presiden yang baru dilantik mahu ia kembali diadakan selain mahu terlibat secara tetap selepas ini. Malah mereka pernah muncul naib juara di dua edisi – 1959 dan 1964. Kali terakhir mereka terlibat adalah di edisi 2001.

Mereka juga berkata sukar untuk mengajak pasukan berkualiti menjadi lawan, jadi Pestabola Merdeka adalah pentas dan peluang yang bagus.

India berpeluang bertemu pasukan terbaik seperti mana ketika mereka menyertai King’s Cup edisi 2019 – disertai Curacau, Vietnam dan Thailand.

Kita tahu betapa berprestijnya Pestabola Merdeka. Ia adalah kejohanan yang popular [di Asia]. India berpeluang untuk bertemu lawan yang berkualiti. Ia berita baik buat bola sepak di India,jelas Chaubey ketika mengadakan lawatan ke Malaysia bertemu AFC dan FAM sekitar Oktober tahun lalu.

Penutup

Jadi, inilah punca mengapa India terdesak dan mengidam menyertai Pestabola Merdeka. Lagipun ranking mereka sangat baik – ke-106 dunia.

Dan dikhabarkan India sudah disahkan sebagai salah satu negara yang bakal menyertai edisi 2023 yang dijangka berlangsung September depan.

Kali terakhir ia dianjurkan adalah pada edisi 2013 yang menyaksikan Malaysia B-23 muncul juara selepas menewaskan Myanmar, 2-0.

Leave a Reply