‘Rezeki Terpijak’ – Ini Antara Kesan Penggantungan AIFF Kepada KL City

KL City Piala AFC 2022

KL City FC bakal bertemu PSM Makassar dalam final Zon Asean Piala AFC 2022 pada 24 Ogos dan jika menang, adakah mereka akan ke final kedua?

Final kedua yang dimaksudkan di sini adalah final inter-zon yang bakal menemukan pemenang antara juara zon Asean, Central Asia, South Asia dan East Asia. Terlebih dahulu, juara Asean akan bertemu juara East Asia dan juara Central Asia akan bertemu juara South Asia di separuh akhir.

Ini menjadikan, KL City atau PSM Makassar akan bertemu wakil India iaitu juara Kumpulan East Asia, ATK Mohun Bagan di separuh akhir inter-zon.

Jadi, mengapa juara zon Asean akan melangkau separuh akhir inter-zon?

Piala AFC: Kecemerlangan Azri Ghani Pastikan KL City Benam Viettel Untuk Ke Final Zon Asean

FIFA gantung AIFF

Awal pagi semalam, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengumumkan yang Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) telah digantung serta merta daripada semua pertandingan antarabangsa.

Pergantungan tersebut terpaksa dikenakan ke atas AIFF selepas terdapat dakwaan campur tangan pihak ketiga di dalam urusan pentadbiran AIFF.

Tindakan serta merta oleh FIFA itu bermakna pasukan bola sepak India bakal terlepas peluang untuk beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Tempat mereka dikhabarkan akan digantikan satu lagi wakil Asean, Filipina.

Hak menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita B-17 juga telah ditarik balik dan mereka juga tidak dibenarkan untuk menghantar pasukan ke kejohanan itu.

Dengan erti kata lain, India dilarang mengambil bahagian dalam semua aksi antarabangsa – termasuk perlawanan persahabatan yang telah diatur oleh AIFF pada jendela perlawanan FIFA bermula pada September hadapan.

Impak akan turut dirasai oleh kelab-kelab dari India yang akan bertanding di kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seperti Piala AFC 2022. Antara yang terkesan adalah wakil mereka, ATK Mohun Bagan yang dijadualkan akan bertemu juara zon Asean di separuh akhir inter-zon.

Untuk itu, KL City atau PSM Makassar akan terus melangkah ke final.

Berterusan lakar sejarah baharu

Dengan melangkah ke final zon Asean, KL City sudah melakar sejarah baharu buat kelab Malaysia yang bertanding di Piala AFC dengan format terbaharu kini yang diperkenalkan sejak 2017. Kempen Johor Darul Ta’zim (JDT) pada edisi tersebut berakhir di peringkat separuh akhir zon Asean,

Jika menang ke atas PSM Makassar – yang mereka terikat tanpa jaringan ketika peringkat kumpulan sebelum ini, mereka bakal dinobat sebagai juara zon Asean – yang pertama dari Malaysia dan bakal membawa pulang USD100,000 (RM440,000) sebagai habuan kemenangan tersebut.

Dan jika penggantungan AIFF masih berjalan, The City Boys akan terus mara ke final inter-zon yang bakal menemukan mereka dengan pemenang antara Eastern SC (Hong Kong) dan Sogdiana Jizzakh (Uzbekistan). Pemenangnya pula akan mara ke pentas final ‘sebenar’ Piala AFC.

KL City wajar merebut peluang terbuka buat mereka untuk melakar sejarah.

Disamping melakar sejarah baru buat pasukan dan negara, para pemain KL City juga akan berjaya membawa pulang habuan besar buat pasukan.

Peluang KL City menambah penyokong

Ini kesan tidak langsung buat KL City sepanjang mereka bersaing di Piala AFC. Jika kemenangan di Piala Malaysia 2021 ke atas JDT menyaksikan pengendali, Bojan Hodak berkata akhirnya KL City ada ramai penyokong, ini satu lagi peluang untuk mereka menambah lebih lagi koleksi penyokong.

Dengan mara lebih jauh di saingan Piala AFC, KL City akan terus membuka mata penyokong-penyokong mereka yang masih belum menunjukkan muka. Sudah lama Kuala Lumpur tidak meraih kejayaan besar. Pentas Piala AFC adalah saat terbaik buat mereka untuk mencipta lembaran baharu.

Pasukan Dah Beraksi Di Kejohanan Asia, Tapi Ke Mana Penyokong KL City Menghilang?

Setakat ini dalam saingan Liga Super, jumlah kehadiran penyokong di Stadium KLFA, Cheras tidak segah mana. Kehadiran tertinggi direkodkan ketika berdepan JDT (2,693 penyokong) dan Selangor (2,517 penyokong). Mungkin penyokong lawan yang menyumbang kepada jumlah tersebut.

Jika mahu diukur, perlawanan yang sesuai adalah ketika berdepan PJ City.

Menariknya, aksi berdepan PJ City merekodkan jumlah kehadiran terendah mereka di Stadium KLFA setakat ini iaitu sebanyak 506 penyokong sahaja.

Ketika menjadi tuan rumah peringkat kumpulan Piala AFC pada penghujung Jun lalu, kehadiran penyokong hanyalah sekitar 1,000 lebih penyokong.

Jadi, dengan melangkah lebih jauh di pentas Piala AFC ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk menambah penyokong The City Boys selepas ini.

Moral pasukan di saingan Liga Malaysia

Mereka berada di kedudukan ke-7 Liga Super saat ini dengan mengumpul 18 mata – tidak jauh daripada pasukan di tangga ke-4, Terengganu FC yang mengumpul 23 mata. Berbaki lapan perlawanan, mereka masih boleh memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super 2022.

Mereka juga merupakan juara bertahan Piala Malaysia dan kejohanan ini masih belum bermula, sementara untuk Piala FA pula, langkah mereka terhenti di pusingan kedua – tewas 0-1 kepada musuh Lembah Klang, Selangor. Adakah saingan di Piala AFC membantu mereka di Liga M?

Sedikit sebanyak ia boleh membantu meningkatkan moral pemain. Dengan kewangan dan pemain yang terhad, apa yang mereka telah lakukan di Liga M dan Piala AFC adalah menakjubkan. Jika mereka berterusan berjaya di pentas Asia, sudah tentu The City Boys akan semakin bersemangat.

Langkah mereka bermula ketika berdepan PSM Makassar dan ia peluang terbaik untuk terus melakar sejarah baharu dengan penggantungan AIFF ini.

Leave a Reply