“Jangan Sekali Gagal Terus Tukar”- Bekas Penyerang Indonesia Tampil Pertahankan Shin Tae-yong

Kegagalan Indonesia untuk meraih kejuaraan Piala AFF terus dipertikaikan sehingga kini oleh segelintir penyokong Sang Garuda di media sosial, walaupun saingan tersebut sudah pun berakhir.

Piala AFF dianggap sebagai sesuatu yang sangat bernilai buat Indonesia, kerana kejuaraan tersebut sehingga kini masih belum dijulang pasukan tersebut sejak awal diperkenalkan.

Menerusi kegagalan tersebut, ada segelintir penyokong menyuarakan pendapat mereka agar pengendali pasukan iaitu Shin Tae-yong digantikan kepada jurulatih baharu.

Ini kerana sepanjang penyertaan Tae-yong, pasukan tersebut jelas masih lagi belum meraih sebarang kejuaraan termasuk melepaskan peluang mendakap Piala AFF sebanyak dua kali.

Disebabkan itu, tampil bekas penyerang kebangsaan Indonesia iaitu Beto Goncalves untuk memberikan pendapat beliau mengenai isu tersebut.

Jelas Beto, beliau berharap agar Tae-yong terus melangkah sahaja dalam memajukan bola sepak Indonesia untuk masa akan datang.

Malah, pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu juga mahu pihak pengurusan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) melanjutkan kontrak Tae-yong lebih panjang bersama negara tersebut.

Ini kerana, kontrak Tae-yong bersama Indonesia akan tamat pada bulan Disember 2023, dan pihak pengurusan perlu membuat keputusan dengan lebih cepat.

“Bukan Tae-yong sahaja gagal, malah beberapa pengendali terdahulu sebelum itu juga tidak menjadi bersama Indonesia.

“Kalau kita ingin Indonesia tampil lebih maju dalam sukan bola sepak, pengendali yang hadir juga perlu diberi ruang dan waktu yang mencukupi.

“Jangan kerana sekali gagal, kita salahkan semua dan minta pertukaran jurulatih baharu untuk skuad kebangsaan.

“Kita perlu tunggu, kerana sesetengah pasukan juga ada lima tahun sekurangnya masa diperlukan untuk mereka berjaya.

“Tahun pertama lebih kepada melihat dan mengesan kelemahan yang ada dahulu. Kemudian, tahun ketiga mula tampil serius serta tahun seterusnya baru memperoleh kejayaan,” jelas beliau menerusi Bola.com.

Pada masa sama, pemain tersebut juga menyatakan masalah sebenar Indonesia ketika ini ialah kekuatan mental setiap pemain yang ada.

Dari segi permainan, jelas skuad kebangsaan tersebut dianggap semakin meningkat dan tampil lebih baik. Cuma, dari segi persediaan mental jelas mereka masih lemah.

“Jika saya pulang ke Brazil, perkara yang saya beritahu rakan-rakan disana mengenai kelemahan Indonesia ialah aspek kekuatan mental mereka yang menjadi masalah utama,” tambah beliau akhir sekali.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply