Perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 yang menemukan Brunei dengan Sarawak merupakan perlawanan unik kerana ia diadili oleh dua orang pengadil di tengah padang.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada 4 Disember 1999 di Stadium Merdeka itu, Brunei muncul juara selepas berjaya menewaskan Sarawak 2-1. Kedua-dua gol Brunei dijaringkan oleh Rosli Liman. Manakala gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Ramles Sari.
Keunikan perlawanan akhir ini bukan terletak kepada jumlah pengadil tengahnya. Malah ia juga kali pertama dua pasukan Borneo berentap dalam satu pentas perlawanan akhir dan kali pertama Piala Malaysia akan menyeberang Laut China Selatan.
Sebelum perlawanan lagi, perlawanan ini sudah ada kontroversi. Brunei dan Sarawak mahukan perlawanan akhir itu dibuat di Kepulauan Borneo. Tetapi FAM bertegas mahu dibuat di Stadium Merdeka kerana takut perlawanan tidak akan mendapat sambutan hangat jika dibuat di Borneo.
Berbalik kepada isu dua pengadil tengah dalam perlawanan ini, pastinya ada orang yang akan bertanya: mengapa FAM meletak dua pengadil tengah dalam perlawanan ini? Apa tujuan disebalik keputusan FAM ini?
Untuk menjawab persoalan ini, kami menemu ramah Encik Amir Sharifuddin Wong, salah seorang daripada dua pengadil yang bertugas pada malam bersejarah itu.
Satu nama, dua tugas berbeza
Menurut buku History of Football in Malaysia (1900-2000), FAM menjalankan satu eksperimen iaitu menugaskan dua pengadil tengah dalam satu perlawanan atas arahan FIFA.
Ketika itu FAM dipilih oleh FIFA kerana keyakinan badan induk bola sepak dunia itu terhadap kepakaran dan kelicinan pentadbiran FAM serta kepakaran yang dimiliki oleh pengadil tempatan pada waktu itu.
En. Amir Sharifuddin Wong yang juga mesra dipanggil sebagai Cikgu Amir merupakan salah seorang daripada dua pengadil tengah yang bertugas ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 1999.
Menurut beliau, dua pengadil tengah itu sebenarnya mempunyai dua tugas yang berbeza.
“Ia bergantung kepada lokasi dimana pengadil itu berada. Kedua-dua pengadil bebas untuk bergerak sementara pembantu pengadil akan bertugas seperti biasa.
“Lazimnya pengadil yang berdekatan dengan permainan akan bergerak mengikut pergerakan permainan.”
“Sementara itu satu lagi pengadil akan bergerak mengikut tempat kosong atau tempat yang di mana beliau merasakan permainan akan tiba di situ.”
“Hasil daripada pergerakan sebegini, pengadil akan mempunyai dua sudut penglihatan dan tidak terhad kepada satu pasang mata sahaja.”
Siapa yang akan bagi kad? Siapa tiup wisel?
Memandangkan ada dua pengadil diatas padang jadi, kami bertanya: siapa yang akan tiupkan wisel?
Menurut Cikgu Amir:
“Kedua-dua pengadil mempunyai kuasa yang sama iaitu boleh memberhentikan permainan dengan meniupkan wisel. Ikutlah siapa paling dekat dengan situasi permainan.
“Kedua-dua pengadil juga boleh memberikan kad kepada pemain dan berhak untuk menguruskan benteng ketika situasi sepakan percuma.”
Apa nak buat jika berlainan pendapat?
“Jika kedua-dua pengadil berlainan pendapat ketika memberikan keputusan, hanya seorang pengadil yang perlu meniupkan wisel sementara seorang lain perlu menunggu dan perhatikan apa yang akan jadi selepas itu.
“Namun begitu, jika keputusan pengadil jelas ketara maka overrule dibenarkan.”
Adakah hasil eksperimen ini berjaya?
Menurut Cikgu Amir, eksperimen 2 pengadil di atas padang ini berjaya apabila bilangan kesalahan yang dilakukan oleh para pemain menurun pada tahun 1999 berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.
“Ia berjaya mendisiplinkan para pemain untuk tidak melakukan kesalahan dengan kerap ketika bermain.”
Cikgu Amir merupakan salah seorang pengadil yang pernah menghiasi kancah bola sepak negara dari tahun 1987 hingga 2002.