Jurulatih Separuh Masa Mengeluh NFDP Tangguh Bayar Elaun

NFDP

Entah badai apa yang sedang melanda Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) ketika ini, seorang Jurulatih Separuh Masa (JSM) telah menghubungi SemuanyaBOLA memaklumkan beliau dan rakan-rakan JSM yang lain di seluruh negara ketika ini sudah tiga bulan tidak menerima elaun.

Menurut JSM itu, isu elaun jurulatih separuh masa NFDP yang lewat diberikan sebenarnya sudah lama membelenggu semua jurulatih yg terlibat dengan program ini sejak beberapa tahun lagi.

“Elaun JSM untuk bulan Januari dan Februari yg sepatutnya diperolehi pada hujung bulan Februari telah dimaklumkan pada 16 Mac yang ianya akan dimasukkan pada hujung bulan Mac. Jumlah tunggakan menjadi RM1,500.

“Kami JSM ini dah diibaratkan seperti kucing menunggu ikan tergantung untuk jatuh. Sebelum ini kami dimaklumkan elaun akan masuk pada hari ini [31 Mac]. Kemudian tiba-tiba mereka ubah lagi keputusan dan maklumkan yang elaun akan dimasukkan pada hujung bulan April,” kata JSM itu yang enggan namanya didedahkan.

“Yang peliknya, semua jurulatih AMD [Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari] semua sudah terima gaji masing-masing, tetapi elaun JSM seluruh Malaysia mereka hanya anggap isu remeh.”

Tambahnya lagi, makluman mengenai penangguhan tersebut dianggap sebagai khabar buruk kerana elaun yg akan sepatutnya diterima itu amatlah diperlukan di saat  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menjejaskan sumber pendapatan sebahagian mereka.

“Jurulatih-jurulatih ini terpaksa menunggu selama 30 hari lagi untuk mendapatkan elaun tersebut. Ada dalam kalangan kami mempunyai anak yang ramai dan perlu membeli keperluan asas setiap hari.” ujarnya lagi..

Sebelum ini terdapat persoalan mengenai dana RM45 juta yang diperuntukkan kepada NFDP dalam Belanjawan 2020 selepas terdapat pemain AMD yang dilihat menyarung jersi yang logonya telah tercabut.

Begitu juga dengan isu penutupan Pusat Latihan Daerah (PLD), masalah pembekalan peralatan latihan, pengelolaan pertandingan yang dilihat cacamarba, elaun para jurulatih yang telah dipotong, tiada lagi bantuan kepada Liga anjuran KPM dan sebagainya.

SemuanyaBOLA akan cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak NFDP berkenaan isu ini dalam masa terdekat.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai NFDP dan AMD:

https://semuanyabola.com/bekas-pengarah-nfdp-tampil-beri-komen-isu-pampasan-pemain/

Leave a Reply