Saad Ichalalene: NFDP Platform Pembangunan, Bukan Untuk Menang Kejohanan

Saad Ichalalene nfdp

1 Disember depan, Saad Ichalalene akan memulakan tugasannya sebagai Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan dalam sidang media, beliau menekankan tidak akan merubah segala yang positif yang sudah ada dalam program ini.

Menurutnya, pihak yang terlibat sebelum ini telah meninggalkan banyak kualiti dan perkara positif yang akan diteruskan olehnya disamping mungkin akan membuat beberapa penambahbaikkan.

“Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua atas kepercayaan untuk saya [bagi jawatan ini]. Ideanya bukanlah untuk mengubah semuanya tetapi untuk terus membina di atas semua perkara positif yang telah dilakukan selama beberapa tahun ini dan menambahbaik apa yang boleh ditambahbaik,” ujarnya.

Berusia 32 tahun, Saad Ichalalene sudah berpengalaman luas bersama NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) iaitu sejak 2016 hingga 2018 apabila dilantik sebagai Ketua Pencarian Bakat dan Metadologi NFDP sebelum dilantik Pengarah Teknikal NFDP.

Menurutnya lagi, misi utama NFDP bukanlah untuk memenangi kejohanan peringkat remaja kerana jika menang, tiada siapa akan mengingatinya. Misi utama NFDP adalah untuk melahirkan produk.

“Sebagai program nasional, misi utama bukan untuk memenangi semua kejohanan remaja, yang mana tiada siapa akan ingat, tetapi untuk mencipta platform yang kuat bagi pembangunan pemain muda,” jelasnya sambil menyatakan perbincangan bersama semua pihak yang terlibat akan dijalankan bagi merancang strategi.

“[Kita] cuba menghasilkan pemain berkualiti yang akan memberi manfaat kepada kelab-kelab di Malaysia dan skuad kebangsaan serta mungkin juga sesetengahnya kita mampu hantar beraksi di luar negara,” tambahnya mengenai produk yang mahu dihasilkan.

Tiada yang mustahil kerana penyerang skuad B-19 negara yang kini bersama skuad Sukan SEA 2019, Luqman Hakim Shamsudin, graduan NFDP yang pertama, bakal berhijrah ke Liga Belgium untuk bersama K.V. Kortrijk bermula pada tahun hadapan.

Bekas Ketua Jurulatih Akademi PSG itu juga menjelaskan betapa pentingnya pembangunan akar umbi dan akan cuba menjalin kerjasama erat bersama kelab-kelab di Malaysia. Beliau turut mahukan jurulatih yang bagus untuk program akar umbi.

“Untuk mencipta platform yang kuat bagi pembangunan pemain muda, kita perlu terus menambahbaik program kejurulatihan dan berkolaborasi bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menambah pusat pembangunan akar umbi selain meningkatkan standard pertandingan remaja kita,” ujarnya.

“Negara ini memiliki potensi yang hebat dan kita akan lakukan sebaik mungkin bersama-sama untuk membangunkannya,” tuturnya sebelum menutup bicara di sidang media.

Saad Ichalalene telah diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan NFDP dan AMD yang sebelum ini dikendalikan oleh Lim Teong Kim, yang telah ditamatkan kontraknya sebelum ini.

Kredit Featured Image: Stadium Astro

Leave a Reply