Kisah Ramos & Ramles, Kembar Sari Yang Pernah Bawa Sarawak Gegar Liga Malaysia

Musim ini, Sarawak gagal layak ke saingan Piala Malaysia. Sejak beberapa musim lalu, pasukan yang sinonim dengan gelaran Bujang Senang itu mengalami masalah kewangan dan dana yang tidak punyai kesudahan.

Ia berbeza dengan era 90an di mana Sarawak dikatakan mempunyai antara pengurusan antara yang terbaik di dalam negara.

Hasilnya, 1992 Sarawak bergelar juara Piala FA, juara Liga pada 1997, Piala Sumbangsih pada 1998 dan mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1999.

Itu bukti jelas pengurusan di dalam sesebuah persatuan yang baik mampu menjamin kejayaan kepada sesebuah pasukan, dan sebaliknya yang berlaku jika pengurusan tersebut gagal. Tiada alasan.

Pertandingan Piala Malaysia telah melahirkan ramai pemain bola sepak tanah air yang boleh kita kenang sebagai lagenda pada hari ini.

Satu masa dahulu, kembar Sari pernah mengegarkan arena bola sepak tanah air. Kita ikuti kisah mereka kali ini yang sinonim dengan pasukan Sarawak dan juga pertandingan Piala Malaysia.

Kali ini, kita singkap kembali dua individu yang sinonim dengan pasukan Bujang Senang.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1999

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1999. Sarawak 1-2 Brunei. Perlawanan akhir Piala Malaysia yang mencatat sejarah tersendiri di dalam arena bola sepak tempatan. Pertemuan yang menampilkan dua pasukan dari kepulauan Borneo.

Pertama kali dan ia kekal sebegitu sehingga ke hari ini, menyaksikan aksi perlawanan akhir melibatkan dua pasukan dari pulau ketiga terbesar di dunia.

Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Ia bukan sekadar derbi. Lebih daripada itu, rakyat Malaysia yang tidak ingin melihat piala berprestij itu dirangkul oleh sebuah lagi pasukan jemputan, Brunei Darussalam.

Sebelum itu, Singapura menjuarainya sebanyak 24 kali. Kejuaraan terakhir adalah pada tahun 1994 sebelum pasukan “The Lions” menarik diri daripada bola sepak Malaysia untuk membina liga bola sepak mereka sendiri.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 juga adalah perlawanan terakhir piala terprestij di dalam arena bola sepak tempatan dilangsungkan di Stadium Merdeka, yang pernah menjadi stadium keramat skuad Harimau Malaya  satu ketika dahulu.

Pasangan Kembar Sari

Penjaring gol tunggal Sarawak pada masa itu ialah Ramles Sari. Nyatakan sahaja nama “The Sari’s Twin” kepada mana-mana peminat bola sepak di Sarawak, pasti akan terbayang kelibat lincah Ramles dan Ramos yang merupakan nadi utama serangan skuad Bujang Senang pada masa itu.

Ramles berjersi nombor 6. Ramos berjersi nombor 3. Ramles bermain sebagai sayap kiri. Ramos di sayap kanan.

Kedua-duanya gemar diturunkan serentak di dalam kesebelasan utama. Mudah untuk mereka memberi semangat untuk satu sama lain.

Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Persefahaman yang sudah terbina sejak kecil sering kali mengelirukan pasukan-pasukan besar pada masa itu. Selangor, Pahang, Singapura.

Semua pasukan tersebut pernah menjadi mangsa kelincahan pasangan kembar ini.

Dilahirkan pada 6 November 1967. Berasal daripada Sri Aman, Sarawak. Tempat asal usulnya lagenda buaya pembunuh dengan jolokan nama Bujang Senang iaitu di Batang Lupar.

Bakat kedua-duanya dikesan oleh pengurusan Sarawak FA yang diterajui oleh Alan Vest melalui pertandingan tempatan di sekitar bandaraya Kuching pada masa itu.

Ramos bermain bersama pasukan Hilton dan dipanggil utk menyertai sesi uji bakat pada tahun 1991. Debut pertama beliau bersama Sarawak ialah pada tahun 1992.

Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Ramos juga merupakan sebahagian daripada pemain utama skuad kebangsaan yang muncul sebagai naib juara Kejohanan Pesta Bola Merdeka pada tahun 2000.

Rekod jaringan 4 gol Ramos ketika membelasah Pahang dalam perlawanan Piala Malaysia 1997, turut kekal sebagai antara pemain tempatan dengan jaringan terbanyak dalam satu perlawanan sehingga ke hari ini.

Pemain import, Marlon Alex James menjaringkan 5 gol ketika membantu Kedah membelasah Melaka di peringkat suku akhir pertandingan tersebut pada musim 2007.

Selain daripada Ramos Sari, Akmal Rizal Rakhli juga merupakan penjaring tempatan yang pernah menjaringkan 4 gol ketika menentang  PKNS dalam saingan  Piala Malaysia 2004.

Kredit: Pemilik Sumber

Berbeza dengan kembarnya, Ramles hanya menyertai pasukan Sarawak pada tahun 1996. Sebagaimana kembarnya, bakat beliau dikesan ketika bermain bersama pasukan Holiday Inn di dalam satu kejohanan tempatan.

Bermain di sebelah kiri, rembatan kencang kaki kirinya amat digeruni oleh penjaga gol lawan. Jaringan gol beliau ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 pasti akan dikenang oleh beliau sampai bila-bila.

Ramles dan Ramos Sari terus bermain bersama pasukan Sarawak sehingga musim 2006.

Selepas Bersara

Pada hari ini Ramles dan Ramos masih giat di dalam sukan bola sepak. Kedua-duanya masih giat bermain untuk pasukan-pasukan tempatan maupun atas jemputan pasukan-pasukan veteran.

Kelincahan, kegigihan dan disiplin ketika di atas padang masih jelas kelihatan walaupun sudah berusia.

Ramles turut bertindak sebagai pengurus dan jurulatih untuk Kelab Finexsys yang dimiliki oleh usahawan, Sean dan Keiron Long. Kelab Finexsys juga merupakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching dan turut berfungsi mengetengahkan bakat muda dari Sarawak.

Kredit: Ramozz Sari, Facebook

Ramles turut membawa pasukan Finexsys utk beraksi di dalam kejohanan tempatan antarabangsa di negara rantau seperti di Phuket International Soccer 7s dan Borneo Football Cup.

Ramos dan Ramles Sari membuktikan satu perkara kepada kita. Untuk menjadi seorang pemain bola sepak, anda perlukan disiplin yang baik di dalam maupun di luar padang,

Keluarga dan kumpulan pasukan pengurusan yang profesional adalah pemangkin dalam karier seorang pemain bola sepak. Pasti ramai peminat bola sepak tempatan, khususnya dari Sarawak rindu melihat kelincahan pemain seperti pasangan kembar ini.

Kesimpulan

Mari kita jujur dengan diri kita. Warna apa pun jersi dan pasukan yang kita sokong, anda pasti rindu akan pasukan dari Bumi Kenyalang ini di kancah saingan Liga Malaysia.

Baru-baru ini, mereka tampil hanya dengan 13 pemain untuk perlawanan saingan Piala Cabaran menentang Terengganu.

Pendedahan dari ketua jurulatih, Ian Gillian dalam temuramah sebelum perlawanan juga indikasi jelas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) amat tenat.

Senang sahaja untuk menuding jari kepada kerajaan negeri misalnya. Tetapi apakah fungsi persatuan itu sendiri jika hanya mahu menunggu disuap tanpa sebarang inisiatif proaktif?

Sehingga bila harus kita kenang Ramos dan Ramles, atau nama-nama lain seperti Affendi Julaihi, Mazelan Wahed, Roslan Ismail, Ali Shafie dan Jalil Rambli?

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN