Stadium Bandaraya kembali ‘menerima’ kehadiran lagenda mereka dan ia seakan-akan menghidupkan semula suasana stadium yang suram di seluruh negara saat ini.
Seorang pelukis kelahiran Pulau Pinang, Azmi Hussin berpeluang melakar potret enam legenda serta ikon bola sepak Pulau Pinang untuk tatapan umum di dinding Stadium Bandaraya selepas diberikan peluang itu oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBBP).
Enam lagenda dan ikon bola sepak pasukan yang kini dikenali dengan Penang FC itu adalah Allahyarham Ali Bakar, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, Datuk M. Kuppan, Pang Siang Hock, Shukor Salleh dan pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri.
Siapa yang tak teruja melihat senyuman manis Ali Bakar, wajah ‘garang’ dengan misai tebal Namat Abdullah serta potret lagenda dan ikon yang lain. Ia bagai membawa semula ingatan para penyokong pelbagai generasi kepada pemain-pemain itu.
Menurut pelukis mural tersebut, Azmi Hussin yang jelas teruja ketika bercakap kepada Bernama, “Saya terfikir untuk abadikan legenda bola sepak kita selepas melihat pelukis luar negara melukis wajah legenda bola sepak dunia mendiang Diego Maradona sebagai penghargaan dan MBPP bersetuju dengan idea saya itu.”
Ia juga dikatakan dibuat bersempena dengan sambutan Hari Bandar Raya yang akan dilancarkan oleh Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Yew Tung pada Januari depan.
Selain itu, menurutnya lagi, ketika beliau sedang melukis wajah Allahyarham Namat Abdullah, ramai dikalangan penyokong-penyokong ‘otai’ telah berhenti dan datang untuk mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah mengabdikan wajah lagenda Pulau Pinang itu termasuklah wajah pemain-pemain lain juga.
Azmi Hussin yang berpengalaman selama 10 tahun dalam melukis mural itu berharap agar ia akan menjadi satu lagi tarikan pelawat di Pulau Pinang selain terus diberikan peluang melukis lebih banyak potret bintang sukan negara selepas ini. Beliau pernah mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebanyak dua kali.
Katanya, “Pada 2017, saya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records dengan melukis karikatur 320 wajah secara ‘live’ dalam masa 24 jam di Jalan Masjid Kapitan Keling, manakala pada 2019, saya melukis kopi terpanjang di Malaysia, iaitu sepanjang 101 meter di Starbucks Coffee di Karpal Singh Drives yang ditaja Starbucks.”
KREDIT FEATURED IMAGE: BERNAMA
Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC dan Stadium Bandaraya:
Piala Malaysia 2019: Manzoor Azwira Tagih Sorakan Keramat Di ‘Kubu Bandaraya’
Pernah Dikaitkan Dengan Kelantan, Ini 3 Fakta Pengendali Baharu Penang FC, Tomas Trucha