Quantcast

LIGA MALAYSIA TEMURAMAH

Piala Malaysia 2019: Manzoor Azwira Tagih Sorakan Keramat Di ‘Kubu Bandaraya’

Peluang melepasi peringkat kumpulan agak tipis buat Pulau Pinang selepas Perak menang 3-1 ke atas Pahang pada minggu lalu, namun pengendalinya, Manzoor Azwira ketika dihubungi Semuanya BOLA percaya apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak tetapi tidak meletakkan tekanan kepada pemainnya.

Secara matematiknya, Pulau Pinang perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar ke atas Pahang di halaman sendiri sambil mengharapkan Perak akan tewas kepada Sabah di Likas. Ketika ini, Perak berada di kedudukan ke-2 dengan lapan mata, sementara Pulau Pinang tiga mata di belakang The Bos Gaurus.

Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak

“Situasinya kita mengharapkan Perak kalah dan kemudian kita kena menjaringkan gol yang banyak dengan Pahang, yang kita sedia maklum tentang kekuatannya. Tetapi saya tetap memotivasikan pemain, dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku.

Manzoor Azwira Latihan 2

FOTO: FA Penang

“Samaada kita layak atau tidak, kita cuba dapatkan keputusan yang positif dan dalam masa yang sama, kita akan cuba untuk jaringkan sebanyak gol yang mungkin,” ujar Manzoor Azwira.

Jika Perak mampu kejutkan Pahang yang turun dengan kekuatan penuh di Ipoh dengan keputusan yang besar, Pulau Pinang juga pasti mengharapkan situasi dan keputusan yang sama mampu dijelmakan oleh mereka di Stadium Bandaraya, malam ini.

Harimau Kumbang akan melayan kunjungan Tok Gajah di halaman sendiri dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 dan sokongan penyokong amat diperlukan oleh Pulau Pinang.

Menagih kekuatan ‘Kubu Bandaraya’

Kali terakhir Pulau Pinang tumbang di halaman sendiri adalah dalam saingan liga pada pertengahan April lalu, iaitu sebelum kehadiran Manzoor Azwira sebagai pengendali pasukan. Oleh itu, kali ini, sokongan padu penyokong sendiri ditagihnya bagi membantu para pemain untuk memburu keputusan positif.

Stadium Bandaraya 2018

Foto: Penang Brotherhood

“Saya tidak letakkan tekanan yang tinggi kepada pemain sebab saya mahu mereka lebih menikmati dan yakin dalam permainan.

“Sewaktu di sana (Stadium Darul Makmur), ia lebih kepada taktikal permainan away tetapi malam ini lebih kepada taktikal permainan home, yang mana permainan akan lebih kepada menyerang dan pada masa yang sama kita perlu berdisiplin ketika bertahan.

“Saya mengharapkan penyokong akan berikan sokongan padu dan kuat kepada para pemain supaya mereka akan dapat memberikan tentangan sehingga ke minit-minit akhir,” tambahnya lagi.

Pahang rehatkan pemain?

Terdapat perkhabaran yang mengatakan Pahang akan merehatkan beberapa pemain utama seperti Matthew Davies tetapi pada masa yang sama tidak mahu mengganggu rentak pasukan. Mengulas mengenainya, Manzoor Azwira hanya fokus untuk pasukannya.

“Bagi saya, untuk pasukan Pahang ini, skuad utama ataupun simpanan mereka, kemampuan mereka sama. Cuma pemain-pemain simpanan sudah tentu mahu buktikan sesuatu (jika diturunkan) untuk mendapat tempat,” ujarnya.

Careca Matthew Davies Pahang Perak

FOTO: Pahang FA

Manzoor Azwira berkata beliau lebih mahu menumpukan kepada permainan pasukannya berbanding memikirkan kesebelasan utama yang akan diturunkan Tok Gajah pada malam ini.

Menjelaskan mengenai gagal menjaringkan gol ketika menentang Sabah, pengendali berusia 42 tahun mengatakan yang rehat panjang dan tiada aksi kompetitif memang akan mengganggu rentak pemain – kesannya samaada positif atau negatif.

Kali terakhir Harimau Kumbang tidak mengegar jaring gol adalah pada Julai lalu ketika terikat 0-0 menentang Terengganu FC II dan di Piala Malaysia, ia kali pertama ketika tewas kepada Sabah.

Mungkin di hadapan penyokong sendiri, jentera serangan Harimau Kumbang akan lebih menjadi selepas mendengar sorakan keramat para penyokong untuk membantu pasukan mendapat keputusan positif. Laluannya  tampak sukar, tetapi tiada yang mustahil.

Kredit Featured Image: FA Penang