Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia: Tiada Perubahan Besar Untuk Aksi Berdepan Tajikistan

Pengendali skuad kebangsaan,Tan Cheng Hoe menjelaskan yang perlawanan persahabatan ‘rahsia’ menentang Maldives kelmarin adalah sekadar untuk memberi ruang kepada pemain-pemain yang sudah lama tidak beraksi kembali merasai tekanan perlawanan.

Ini termasuk pemain yang tidak beraksi di peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Malaysia yang baru berakhir tempohari. Malaysia merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Maldives dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

“Itu hanya aksi latihan. Saya memberikan peluang kepada pemain-pemain yang tidak beraksi dalam separuh akhir dan final Piala Malaysia supaya mereka dapat merasai prestasi perlawanan dan tekanan perlawanan bagi menguji keserasian dan kombinasi pasukan,” memetik kenyataannya dalam Berita Harian.

Dalam perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penyokong itu, Tan Cheng Hoe telah membariskan pemain-pemain yang bukan regular dalam kesebelasan utama negara antaranya Khairulazhan Khalid di gawang, Dominic Tan, Azzizan Nordin dan Nazirul Naim.

Selain itu, turut berada dalam barisan pemain adalah Shahrul Saad, Syahmi Safari, Matthew Davies, Nor Azam Azih dan Danial Amier, serta Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh diletakkan sebagai penyerang berkembar. Turut beraksi adalah Baddrol Bakhtiar, Adam Nor Azlin, Syazwan Andik dan Syamer Kutty Abba.

Bagi pengendali berusia 51 tahun itu kecergasan pemain penting menjelang pertemuan penting dengan Thailand dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Khamis depan.

“Saya rasa semua jurulatih memandang serius kempen kelayakan ini dengan pendekatan mereka untuk mengumpul mata.

“Kemasukan Chanathip [Songkrasin] dan Thitiphan [Phuangchan] yang cedera serta pemain senior yang berpengalaman luas, menambah kekuatan mereka,” ujarnya lagi sambil mengharapkan semua pemain akan memberikan fokus kepada perlawanan.

Begitupun, pemain tengah kelab Oita Trinita di J-League, Thitiphan Phuangchan itu difahamkan tidak dibawa oleh pengendalinya, Akira Nishino, kerana masih belum cergas sepenuhnya.

“Tetapi persediaan kita juga cukup rapi dan pemain pun dah habis musim Liga Malaysia. Saya harap mereka dapat fokus dalam dua perlawanan terakhir bagi tahun ini untuk lakar keputusan positif,” tambah Tan Cheng Hoe sambil memaklumkan tiada perubahan besar dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang Tajikistan.

Kredit Featured Image: FAM