Quantcast

BERITA

Syarikat Red Giants FC Sdn Bhd. Akan Urus Tadbir Selangor-PKNS FC Selepas Selesai Ambil Alih

Bukan rahsia lagi bahawa PKNS FC bakal menjadi pasukan simpanan atau ‘feeder club’ kepada Selangor di saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Sebelum ini PKNS FC dilaporkan telah menghantar surat untuk menyatakan persetujuan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk dijadikan pasukan simpanan kepada pasukan gergasi Lembah Klang itu.

Kini terpulang kepada MFL untuk meneruskan proses seterusnya sebelum ianya rasmi PKNS FC bergelar pasukan simpanan kepada Selangor.

Menurut laporan oleh Selangor Kini, selesai proses penggabungan PKNS FC dan Selangor FA ini juga bermakna kedua-dua pasukan akan dikendalikan oleh sebuah entiti baru yang dinamakan Red Giants FC Sdn Bhd.

Perkara itu dijelaskan oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen 2020 di Dewan Negeri Selangor semalam.

Menurut beliau, Red Giants FC Sdn Bhd. akan diterajui oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor.

Bagi membantu syarikat terbabit memulakan operasi, Kerajaan Negeri turut menyuntik sumbangan sebanyak RM10 juta sebagai modal permulaan.

Selangor dijangka akan tampil sebagai Selangor FC di saingan Liga Malaysia selepas selesai proses penggabungan ini.