Kelayakan Piala Dunia 2026: Malaysia Tewas 0-2 Di Bumi Oman

Faktor kecergasan jelas menjadi punca yang menjelaskan kekalahan 0-2 Malaysia kepada Oman di Muscat. Ketika Liga Super masih pun belum bermula, Liga Oman sudah pun memasuki hari perlawanan ke-14. Kekalahan ini merupakan kekalahan pertama skuad negara dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 yang juga menyediakan slot layak terus ke Piala Asia 2027.

Malaysia yang jelas nombor kedua terbaik dari segi kecergasan permainan berbanding Oman dalam perlawanan ini mendapat amaran pertama pada minit ke-10. Daniel Ting, seorang pertahanan kiri, yang diletakkan oleh Kim Pan-gon di posisi pertahanan kanan dalam perlawanan ini nampak bergelut menutup ruang di belakangnya. Ruang inilah dimanfaatkan oleh unit serangan Oman untuk menyerang Ahmad Syihan dan tiga pertahanan tengah di hadapannya.

Empat minit kemudian, Oman menyerang zon Daniel Ting sekali lagi. Hantaran lintang dari sebelah kiri berjaya menemui kepala Omer Al Malki tetapi pantas dinafikan oleh tindak balas refleks Syihan dan intervensi susulan Dominic Tan.

Lapan minit kemudian Oman mencuba satu lagi strategi serangan berbeza. Hantaran terus ke ruang belakang jentera pertahanan Malaysia menghasilkan satu lagi percubaan berbahaya. Mujur Al Malki kehabisan ruang untuk menyudahkan serangan. Pada minit ke-31, strategi ini digunakan sekali lagi sehingga memaksa kecekapan Syihan untuk mengekalkan jaringan 0-0.

Harimau Malaya mengambil masa hampir setengah jam sebelum berjaya menguji penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini. Sebelum itu lagi, Faisal Halim dan Arif Aiman – dua pemain negara paling berbahaya bagi tuan rumah – ada mengancam menerusi larian terkenal mereka. Tetapi ia berjaya dikekang pertahanan Oman.

Malaysia cuba bangkit

Ketua jurulatih kedua-dua pasukan tidak melakukan apa-apa perubahan selepas rehat separuh masa. Ini menandakan jelas misi Oman adalah tiga mata; manakala Malaysia satu mata.

Oman terus mengasak. Malaysia terus bertahan. Apabila ada satu ketika Malaysia memenangi bola menerusi pintasan hantaran, unit serangan kurang sokongan dari belakang untuk melancarkan serangan balas pantas.

Barangkali itu strategi Pan-gon yang mahu pemain negara lebih lama memegang bola. Tetapi kekurangan persefahaman dan hantaran tidak tepat pula mengecewakan – sekaligus memberikan semula penguasaan bola kepada tuan rumah. Omar kembali mengasak, Malaysia kembali bertahan.

Skrip sama inilah yang menghadiahkan gol pertama Oman. Berpunca daripada kelambatan pertahanan negara menutup ruang Ali Sulaiman Al-Busaidi, dicampur pula dengan kealpaan unit sama untuk memintas Al-Busaidi menghadiahkan peluang kepada Issam Al-Sabhi untuk menewaskan Syihan pada minit ke-58.

Dua minit kemudian Malaysia berpeluang untuk menyamakan kedudukan. Sepakan penjuru Faisal Halim berjaya menemui kepala La’vere Corbin-Ong. Namun tandukan pertahanan kiri negara itu sekadar menggegar palang.

Selepas 67 minit, Pan-gon bertindak balas dengan menamatkan penderitaan Daniel Ting di bumi Oman. Azam Azmi dimasukkan beserta Endrick yang menggantikan Brendan Gan. Kemasukan Endrick jelas mempunyai satu objektif – dapatkan bola dari rakan pertahanan di belakangnya dan berikan bola kepada rakan serangan di hadapannya.

Apabila naratif perlawanan masih belum berubah, Pan-gon memasukkan pula Paulo Josue dan Akhyar Rashid untuk menggantikan Stuart Wilkin dan Faisal Halim ketika perlawanan berbaki 15 minit.

Ketika inilah skrip perlawanan mula berubah. Oman mula mengendurkan serangan, Malaysia mula menguasai bola.

Kemasukan Josue hampir memberi justifikasi positif kepada Pan-gon apabila hantaran tengahnya menemui Romel Morales yang menyudahkan peluang dengan baik pada minit ke-80. Tetapi malangnya Morales dihukum ofsaid.

Ikhtiar Pan-gon yang mengeluarkan Shahrul Saad dan memasukkan Darren Lok merupakan cubaan terakhir skuad negara untuk mendapatkan gol penyamaan. Namun sebaliknya pula berlaku.

Kali ini Oman berjaya mendapatkan gol kedua. Berpunca daripada kebijakan Al-Busaidi yang meloloskan dari sisi buta Azam Azmi, hantaran pemain Oman ini berjaya disudahkan oleh Muhsen Al-Ghassani. Gol kedua ini terus membunuh sisa-sisa kebangkitan yang cuba dipamerkan anak buah Pan-gon di Kompleks Sukan Sultan Qaboos.

Skuad negara mempunyai masa 4 hari untuk memperbetulkan keadaan menjelang pertemuan kedua Kumpulan D bertemu Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac ini.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN