Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Vietnam Waspada Peningkatan Positif Skuad Negara

Pengendali Vietnam, Park Hang-Seo mengambil sikap berwaspada dengan ancaman pasukan Harimau Malaya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Pusingan Kedua Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.

Jurulatih dari Korea Selatan itu, turut mengakui pasukan negara telah menunjukkan peningkatan positif berbanding 10 bulan lalu ketika kali terakhir skuad Naga Emas itu bertemu Malaysia di pentas akhir Piala AFF 2018.

Tambahnya, dia tidak boleh memberi jaminan Vietnam mampu menewaskan Malaysia dalam pertemuan kali ini dengan menyifatkan kedua- dua pasukan mempunyai peluang sama rata.

“Pasukan Malaysia telah menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding kali terakhir kita bertemu mereka tahun lalu. Bahagian tengahnya juga lebih baik dan mempunyai pemain sayap yang laju.

“Saya tidak boleh beri jaminan kita mampu menewaskan Malaysia tetapi kita akan berusaha ke arah itu. Semua pemain Vietnam telah bersedia untuk menghadapi perlawanan malam esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan antara kedua-dua pasukan di Wisma Persatuan Bola Sepak Vietnam, hari ini.

Mengulas mengenai dua pemainnya yang beraksi di Eropah iaitu Cong Phuong bermain buat kelab Belgium, Sint-Truiden manakala pertahanan, Van Hau yang bermain bersama Heerenveen telah bersedia untuk diturunkan.

“Phuong bersedia dan cergas untuk diturunkan manakala Van Hau masih kepenatan. Kita akan pantau keadaan keduanya dan lihat sama ada boleh diturunkan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Vietnam, Do Hung Dung mengakui barisan tengah pasukan Malaysia lebih mantap terutama kelibat Brendan Gan dan dua sayap negara, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

“Barisan tengah Malaysia lebih baik dan mempunyai kepantasan. Kita perlu bewaspada dengan perkara itu.

“Apa pun kita juga telah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi perlawanan menentang Malaysia,” ujarnya.

Kredit foto: Vietnam Football