Quantcast

BERITA

Tammy Abraham: Pemain England Akan Keluar Padang Jika Terdengar Ejekan Perkauman

Pasukan England akan bertandang ke Stadium Sinobo, Prague untuk perlawanan bertemu Republik Czech pada Jumaat ini bagi saingan kumpulan A, kelayakan Euro 2020.

Penyerang England yang dipanggil semula bersama skuad kebangsaan, Tammy Abraham berkata kepada BBC, semua pemain The Three Lions bersedia untuk keluar dari padang perlawanan sekiranya mereka menjadi sasaran ejekan perkauman dalam perlawanan akan datang.

Isu ini timbul menjelang pertemuan dengan pasukan Bulgaria pada hari Isnin yang akan berlangsung di stadium yang ditutup di beberapa bahagian kerana didenda oleh UEFA berikutan isu perkauman.

“Jika ia berlaku kepada salah seorang daripada kami, itu bermaksud dituju kepada kami semua. Harry Kane juga mengatakan perkara sama. Jika semua pemain tidak berpuas hati, kita akan melangkah keluar bersama.” kata Abraham.

UEFA telah mengarahkan beberapa bahagian di Stadium Nasional Bulgaria ditutup berikutan tindakan penyokong mereka yang melaungkan ejekan berbaur perkauman dalam perlawanan kelayakan Eropah menentang Republik Czech dan Kosovo pada bulan Jun lepas.

Pada bulan Ogos pula, dua kelab Bulgaria, PFC Levski Sofia dan PFC Lokomotiv Plovdiv juga dihukum oleh UEFA di atas kesalahan yang sama semasa perlawanan Europa League.

Pengurus England, Gareth Southgate pada bulan lepas mengatakan beliau akan bercakap kepada pemainnya mengenai perkara ini sebelum berlangsung perlawanan menentang Bulgaria pada minggu hadapan.

Tetapi menurut Abraham, pemain-pemain telah memutuskan untuk memandang serius perkara ini dan bertindak seperti yang telah dirancang jika perlu.

Terdapat tiga langkah dalam protokol yang ditetapkan oleh UEFA untuk mengatasi isu ejekan perkauman semasa permainan sedang berlangsung.

Langkah terakhir adalah menamatkan perlawanan sekiranya pengumuman di dalam stadium tidak dapat menghentikan masalah tersebut.

“Jika ianya berlaku dan katakanlah ada amaran dikeluarkan dalam stadium, kemudian ianya berlaku lagi. Tak kira apa pun keputusan semasa, sebagai satu pasukan, lebih baik kami buat keputusan untuk tidak terus kekal di atas padang.

Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold pula mengatakan, beliau akur dengan protokol tersebut. Tetapi menurut beliau, jika keadaan semakin buruk dan tidak terkawal, mungkin mereka terpaksa mengambil tindakan yang berbeza.

“Tiada siapa patut merasa tidak selesa semasa sedang beraksi di atas padang. Semua orang berhak diberikan peluang untuk bermain dalam suasana yang adil dan saksama.”

 

“Itu adalah keputusan bersama. Kami perlu sepakat. Tidak kira sama ada yang diejek [secara perkauman] itu hanya seorang atau pun dituju kepada semua pemain, kami ibarat satu tubuh badan yang sama.”

Bak kata pepatah. cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.