Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Syafiq Ahmad Tidak Rela Pulang Dengan Tangan Kosong

PENYERANG Harimau Malaya, Syafiq Ahmad tidak rela pasukan negara ditewaskan buat kali kedua kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi selepas mengalami kekalahan memeritkan tahun lepas yang menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk menjulang Piala AFF 2018.

Jelasnya, kedatangan kali ini bukan untuk tewas lagi sebaliknya mahu membawa pulang tiga mata berharga menjelang aksi ketiga Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, malam esok.

“Saya yakin dengan kemampuan diri dan rakan sepasukan, kita mampu untuk melakar kejutan di sini. Bukan mudah tetapi tiada yang mustahil dengan kekuatan yang kita miliki ketika ini.

“Kita datang kali ini bukan untuk tewas tetapi mahu menang dan bermain habis-habisan. Sudah pasti sokongan semua memainkan peranan penting buat kami di atas padang.

“Untuk saya, sudah pasti mahu meneruskan momentum jaringan tetapi keutamaan adalah membantu pasukan melakar kemenangan bukan mengejar jumlah jaringan,” katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Vietnam, di sini hari ini.

Jika diatas kertas, kelebihan sudah pasti dimiliki Vietnam yang menghuni tangga ke-99 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-158 dunia, selain beraksi di ribuan penyokong mereka.

Namun, seandainya Malaysia mampu mempamerkan aksi ketika tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), tidak mustahil keputusan positif mampu diraih skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Hanoi.

Dalam pada itu, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, mengingatkan rakan sepasukan memberi fokus sepenuhnya dan mengurangkan kesilapan mudah yang membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan tersebut.

“Kita tahu Vietnam sebuah pasukan yang bagus dan mempunyai kekuatan disetiap posisi. Perkara yang harus dielakkan adalah melakukan kesilapan mudah, kita juga perlu manfaatkan peluang yang diperolehi sebaik mungkin,” ujarnya.

Syafiq dan Mohamadou Sumareh masing-masing telah meledakkan dua gol sepanjang dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 iaitu ketika menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno dan tewas 1-2 ditangan UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)