Pemain tengah bertahan, Kenny Pallraj dilaporkan kini menjadi sasaran salah satu kelab di Thailand yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau selain beberapa pasukan tempatan.
Laporan tersebut dikeluarkan sendiri oleh wartawan sukan, T. Avineshwaran di media sosial X dengan menyatakan Kenny kini diintai Chiangmai FC dalam saingan Thai League 2.
Sehingga kini, Kuala Lumpur City juga dilaporkan masih belum membuka sebarang rundingan baru bersama pemain berkenaan untuk saingan pada musim hadapan.
Penang dan Sri Pahang menjadi dua pasukan terawal yang berminat untuk cuba mendapatkan pemain tengah berpengalaman tersebut untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula beberapa bulan sahaja lagi.
“Kuala Lumpur masih belum membuka rundingan lanjutan dengan D. Kenny Palraj untuk musim baharu.
“Sri Pahang dan Penang telah bertanya tentang khidmat beliau, selain kelab Liga Dua Thai, Chiangmai juga telah bertanya melalui perantara sama ada dia berminat untuk membuat perjanjian jangka pendek,” kata Avineshwaran.
Untuk rekod semasa, Chiangmai kini berada di tangga ketiga Thai League 2 selepas mengharungi 19 perlawanan dan berjaya meraih 10 kemenangan, lima seri serta empat kekalahan.
Jika momentum positif mampu diraih mereka pada sepanjang musim ini, skuad kendalian Patipat Rorbru itu mempunyai peluang untuk beraksi di saingan teratas Thailand pada aksi hadapan.
Mengenai Kenny pula, pemain tersebut sudah beraksi sebanyak 24 perlawanan secara keseluruhan musim lalu bersama KL City dan merekodkan satu bantuan jaringan.
Selain memiliki kelebihan tinggi selaku pemain tengah bertahan, Kenny juga mampu beroperasi di bahagian serangan menerusi visi serta kualiti hantaran tepat beliau membuka ruang buat pemain lain.
Jika Kenny menyertai saingan Thai League 2, ini akan menjadi satu lembaran baharu buat pemain berusia 30 tahun itu untuk pertama kali mewakili kelab dari luar negara.
Malah, pemain ini juga berkemungkinan bakal digandingkan bersama bekas pemain bintang Thailand iaitu Charyl Chappuis yang dipinjamkan oleh Port FC bersama Chiangmai.
Pada pandangan anda, adakah Kenny patut berhijrah ke Thailand atau terus berada di saingan Liga M bersama kelab baharu untuk saingan musim hadapan?