Muhammad Ridzwan: “Saya Nak Dengar Malaysia Menang”

Muhammad Ridzwan tampil sebagai antara insan istimewa yang terpilih daripada jutaan penyokong Malaysia untuk berada di Qatar bagi memberi sokongan padu buat Harimau Malaya.

Ridzwan merupakan individu yang mengalami kecacatan pada penglihatan sejak beliau lahir namun memiliki tekad sangat kuat untuk memberi sokongan buat Malaysia dalam saingan Piala Asia 2023.

Tampil melayakkan diri secara merit selepas penantian 42 tahun, pastinya itu menjadi salah satu detik yang sukar untuk dilepaskan oleh pemuda tersebut untuk menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah dalam saingan tertinggi di Asia.

Segala kenangan manis dikecapi oleh Ridzwan ini berjaya direalisasikan oleh abangnya sendiri, Raff Iskandar Erman Effendi menerusi perkongsian dibuat oleh Bernama.

“Bagi saya, ini bukanlah cabaran, kerana kami dah biasa ke stadium di Malaysia dan Ridzwan mahu merasai pengalaman di tempat lawan Piala Asia, lagi-lagi apabila Malaysia berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit.

“Biasanya saya akan buat simulasi guna tangan mengenai situasi permainan, contohnya ketika Arif Aiman ataupun Matt Davies membuat terjahan untuk bagi dia faham apa yang berlaku.

“Dia mungkin tak nampak, tetapi dia rasa apa yang berlaku,” ujar Raff Iskandar menerusi perkongsian beliau kepada Bernama mengenai pengalamannya bersama Ridzwan di Qatar.

Pada masa sama, Ridzwan yang merupakan seorang ahli muzik untuk mencari rezeki menjelaskan beliau suka pergi ke stadium untuk merasai sendiri kemeriahan Piala Asia walaupun tidak dapat melihat.

“Harapan saya kali ini sama macam semua orang untuk lihat Malaysia menang. Tetapi saya nak pemain Malaysia tahu dalam banyak-banyak ‘ekor’ (peminat), saya seorang yang datang nak dengar Malaysia menang bukannya tengok mereka menang,” kata Ridzwan pula.

Kedua anak jati Perak itu juga dilaporkan akan berada di Qatar untuk menyaksikan ketiga perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan di peringkat Kumpulan E.

Selepas mencatat kekalahan pertama 0-4 di tangan Jordan, Malaysia bakal mengharungi dua lagi perlawanan untuk menentang Bahrain serta Korea Selatan.

Kedudukan semasa juga menyaksikan Malaysia kini berada di tempat terakhir selepas gagal mengumpul sebarang mata pada aksi sulung serta dibolosi sebanyak empat jaringan.

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN