Di Argentina – sebuah negara Amerika Selatan yang gilakan bola sepak – penyokong bola sepak mereka sering berkata ‘llevar al club adentro’ (kau sentiasa berada dalam tubuhku) untuk menyatakan sokongan tak berbelah bahagi mereka kepada kelab bola sepak mereka.
Ia adalah sebuah metafora yang indah untuk penyokong kelab bola sepak. Tetapi sebuah kelab Argentina di Primera División ingin menguji sejauh mana penyokong mereka mampu membuktikan metafora tersebut.
Baru-baru ini, Club Atlético Tigre (CA Tigre) melancarkan kad keahlian kelab dalam bentuk mikrocip yang boleh ditanam dalam badan penyokong mereka.
Menurut setiausaha agung CA Tigre, Ezequiel Rocino berkata mikrocip tersebut membolehkan penyokong masuk ke dalam stadium semasa hari perlawanan tanpa tiket dan kad ID.
“Kami ada pengimbas di pintu masuk stadium yang akan membaca data mikrocip tersebut, untuk melihat sama ada penyokong kelab tersebut sudah membayar yuran keahliannya. Jika ya, penyokong tersebut boleh masuk ke dalam stadium.”
Penyokong CA Tigre yang pertama mendapatkan mikrocip tersebut adalah – siapa lagi kalau bukan setiausaha agung kelab, Ezequiel Rocino sendiri.
Beliau menanam mikrocip tersebut di lengan tanganya, di bawah permukaan kulit yang mempunyai tatu berwarna biru dan merah CA Tigre.
Mikrocip tersebut adalah mikrocip sama yang digunakan oleh pemilik anjing dan kucing untuk menjejak haiwan peliharaan mereka jika hilang.
Rocino menjelaskan penyokong bebas untuk memilih sama ada untuk mendapatkan tiket, kad ID atau mikrocip tersebut. Mikrocip tersebut juga tidak akan menganggu hak privasi penyokong.
“Kami tak buat apa-apa yang menceroboh privasi penyokong. Kami hanya mahu mempercepatkan proses masuk ke stadium. Mikrocip ini tiada pengesan GPS. Cuma data keahlian kelab.”
Tinjauan kami di media sosial CA Tigre mendapati majoriti penyokong CA Tigre memberikan respons yang kurang memberangsangkan terhadap mikrocip ini.
Baca juga: Liga Argentina (Primera Division): Liga Yang Disertai Oleh 30 Pasukan