Kehilangan Sadio Mane Bukan Punca Utama Mengapa Persembahan Liverpool Semakin Merosot

Liverpool pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini telah selamat menjual pemain penyerang utama mereka, Sadio Mane kepada Bayern Munich.

Ramai pihak yang percaya bahawa The Reds sebenarnya telah membuat keputusan terburuk dalam sejarah mereka kerana melepaskan pemain penyerang itu.

Sadio Mane tidak dinafikan lagi sebelum ini sememangnya menjadi antara nadi terpenting dalam sistem serangan skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Mane pada musim lalu berjaya menjaringkan 23 gol untuk Liverpool dan sepanjang kariernya di Anfield, bintang Senegal itu berjaya merekodkan 120 gol dari semua pertandingan.

Beliau turut menjadi nadi penting yang membantu Liverpool memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, FA Cup dan Carabao Cup.

Selepas menjual Sadio Mane kepada Bayern Munich, Liverpool telah mengeluarkan belanja yang sangat besar untuk mendapatkan Darwin Nunez dari Benfica.

Bintang Uruguay itu sangat diharapkan akan mampu membantu Liverpool untuk menjaringkan gol yang banyak dan jelas sekali para peminat berharap beliau akan mampu memberikan impak yang setanding seperti Sadio Mane.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, Darwin Nunez sepertinya masih gagal untuk mempamerkan aksi persembahan terbaiknya dan beliau kerap dianggap sebagai pembelian yang gagal.

Mungkin saja bintang Uruguay itu masih belum membiasakan diri dengan kancah saingan bola sepak Inggeris dan kerana itu beliau gagal memberikan impak seperti yang diharapkan.

Pemergian Mane dikatakan punca persembahan Liverpool merosot

Ramai pihak termasuk legenda terhebat sepanjang zaman Arsenal, Arsene Wenger percaya yang kehilangan Mane merupakan punca mengapa Liverpool beraksi hambar sepanjang musim ini.

“Ia sangat sukar untuk difahami.”

Jelas Wenger.

“Mereka ada kumpulan pemain yang sama, mereka masih kekal dengan corak permainan yang sama.”

“Mereka sekarang kurang berkesan dari segi memenangi bola berbanding sebelum ini. Nunez pada ketika ini, dia masih tidak menjadi untuk mereka dan mereka sudah membuat pelaburan yang besar. Malangnya dia masih berada di bangku simpanan.”

Wenger kemudiannya mendedahkan bahawa:

“Mereka kehilangan Sadio Mane, pemain yang berada di kelas tersendiri, pemain terpenting. Dia ada sesuatu dalam diri dia, sikap yang aggresif dan keinginan yang menakjubkan. Dia akan jaringkan gol walau apa saja yang berlaku, dia akan realisasikan sesuatu.”

“Sukar untuk gambarkan bagaimana besarnya impak pemergian dia. Mereka benar-benar kehilangan sesuatu yang bermakna untuk mereka.”

Bukan hanya Wenger, bahkan ramai lagi pihak turut bersetuju tentang hal tersebut dan menganggap aksi hambar yang dipamerkan oleh Liverpool pada ketika ini kerana mereka kehilangan Mane.

Aksi hambar Liverpool kini bukan kerana ketiadaan Sadio Mane

Kehilangan Mane sememangnya memberi impak negatif kepada skuad kendalian Jurgen Klopp itu, namun ia bukan alasan untuk menganggap aksi hambar mereka pada ketika ini berpunca dari hal tersebut.

Liverpool masih mempunyai pemain-pemain penyerang yang hebat dan berkualiti namun ada antara mereka yang pada ketika ini sedang tidak berada di tahap persembahan terbaik masing-masing.

Masalah terbesar The Reds pada  ketika ini adalah di posisi midfield dan hal tersebut menjadi punca mengapa jentera serangan The Reds semakin tumpul.

Walau Sadio Mane berada di atas padang sekalipun, ia sama sekali tidak berguna andai posisi lain tidak berfungsi dengan baik.

Liverpool terlalu bergantung harap kepada Thiago Alcantara untuk memulakan serangan dan Fabinho diharapkan untuk membantu barisan pertahanan.

Seorang lagi midfield jelas sekali tidak berfungsi dengan baik dan di situlah masalah utama yang dihadapi oleh Liverpool pada ketika ini.

Ramai pemain dari skuad utama tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini dan kerana itulah skuad The Reds gagal untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN