Arif Aiman Tak Hargai Teong Kim? Ini 3 Sisi Perlu Dilihat Daripada Kenyataan ‘Panas’ Itu

Arif Aiman Lim Teong Kim

Memetik dakwaan pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi kepada pihak media baru-baru ini, Lim Teong Kim tidak pernah memandang dirinya.

Diperolehi daripada portal Makan Bola, Arif dipetik berkata yang bekas pengarahnya di Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu hanya meletakkannya di bangku simpanan. Tidak pasti mengapa beliau perlu mengungkit kisah lama iaitu ketika beliau berusia belasan tahun.

“Dulu dia [Lim Teong Kim] tak pandang pun saya. Lagi pun dulu di AMD saya bukan dalam kesebelasan utama. Saya hanya simpanan.”

Arif Aiman, Makan Bola

Mungkin soalan tersebut datang daripada pihak media selepas Teong Kim sah mengemudi Perak FC dan mahu mendengar reaksi daripadanya.

Kita lihat pula komen Arif yang dipetik daripada Stadium Astro untuk lebih jelas komen sebenarnya kepada pihak media selepas perlawanan.

“Di AMD, saya skuad kedua, tetapi ‘first eleven’ pun tak [dapat] main.”

Arif Aiman, Stadium Astro

Jadi, adakah benar yang Arif pilihan kedua dalam skuad NFDP? Untuk memahami situasi skuad NFDP, artikel ini sudah membincangkannya.

Berada di AMD menjadikannya antara bintang harapan

Menurut bekas Ketua Bahagian Media dan Komunikasi NFDP, Faliq Firdaus yang bercakap kepada Semuanya BOLA sekitar 2017, skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dibahagikan kepada skuad A dan B, yang dikenali Cougars dan Tigers dan semua pemain di AMD dianggap pemain elit.

AMD: Skuad Elit, Hasil Program Pembangunan Bolasepak Negara

Perubahan dan pergerakan pemain sentiasa berlaku bergantung kepada prestasi pemain. Daripada skuad A ke B sehingga boleh turun pangkat ke peringkat Sekolah Sukan Negeri (SSN), malah sehingga ke Pusat Latihan Daerah (PLD). Kedua-dua skuad elit dikendalikan jurulatih berbeza.

“Untuk skuad A, ketua jurulatih adalah Teong Kim dan dibantu Raja Azlan Shah, sementara skuad B dikendalikan Wan Rohaimi Wan Ismail.”

Faliq Firdaus, Semuanya BOLA

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Arif adalah beliau berada di bawah kendalian Wan Rohaimi, namun ketika Kejohanan Bola Sepak Remaja Iber Cup Costa del Sol 2015, Teong Kim turut membawanya bersama tiga lagi penyerang ke Sepanyol antaranya penyerang sensasi, Luqman Hakim.

Seperti kata Faliq, semua yang berada di AMD adalah pemain elit. Jadi, tidak wajar untuk katakan Teong Kim tidak memandang dirinya.

Beliau antara yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Jika beliau diturunkan pangkat sehingga ke PLD misalnya, baru boleh dianggap bakatnya tidak pandang.

Ini kerana prestasi semua pemain AMD sehingga PLD dipantau rapi.

Begitupun, ia tidak menjamin dirinya sentiasa berada dalam pilihan utama. Mungkin ada benarnya, bakatnya kurang mendapat perhatian.

Tetapi, harus diakui beliau sudah berada dalam kalangan yang terbaik di AMD. Itu sudah pasti.

Iber Cup 2015 tentunya kenangan indah buat mereka apabila muncul juara ketika saingan berlangsung di Costa del Sol dan kemudian mara sehingga ke suku akhir di Estoril.

Kejohanan itu disertai akademi-akademi kelab terbaik di dunia antaranya Paris Saint-Germain (PSG) dan Sevilla.

Walaupun dikatakan hanya pemain simpanan di skuad kedua, beliau antara yang tersenarai ke Sepanyol. Ini menunjukkan bakat Arif diiktiraf antara yang terbaik dalam kalangan pemain yang berada di AMD pada usia 13 tahun.

Selain mereka, turut tersenarai adalah Asman Asrul dan Danial Amali.

Jika dilihat, Arif mungkin pilihan ke-4 disebabkan Asman dan Danial Amali ada menjaringkan gol ketika skuad tersebut beraksi di sana.

Namun, kedua-duanya kini seakan-akan ‘hilang’ dalam arena bola sepak tempatan.

Keluar AMD, sertai JDT, kerja keras & ‘tiket’ Mora

Kenyataan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Abu Bakar ini juga boleh dijadikan panduan situasi Arif kerana beliau lebih dekat dengan mereka.

Beliau tidak menghabiskan karier awalnya di AMD apabila memilih haluan baharu dengan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) di usia 16 tahun.

Di sinilah segalanya berubah dan beliau menjadi seperti yang kita lihat ketika ini. Ia adalah hasil usahanya memperbaik dirinya untuk menempatkan diri.

Tidak ada siapa yang berkata dan memberi jaminan bahawa Arif akan berjaya saat beliau memilih untuk menyertai JDT. Namun, walaupun pada usia muda sebegitu, beliau dengan berani menyahut cabaran tersebut.

Arif sedar JDT adalah sebuah kelab yang boleh dijadikan platform dan tempat untuk bergelar pemain profesional.

Diatas semua itu, beliau juga menyedari tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan usaha keras, dan itulah yang dibuktikan oleh anak muda ini di JDT dalam dua tahun.

Dan pada usia 17 tahun, beliau muncul sebagai pemain termuda membuat kemunculan bersama skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Super.

Beliau berjaya atas usaha kerasnya selain turut dibantu bekas pengendali JDT, Benjamin Mora yang memberikannya ruang bermain di pentas besar.

Pemain berusia 20 tahun itu mengambil ‘tiket’ pertamanya dengan baik untuk terus memikat pengendali dan pengikut Liga M dan tentunya JDT.

“Beliau mempunyai skil dan bakat pada usia yang muda dan masa hadapan dan apa yang penting ialah mengetahui mengenai apa yang perlu dilakukannya di atas padang.”

“Beliau seorang revolusi. Dia masuk dan merevolusikan kesemuanya kerana dia amat pantas dan bijak, jadi dia tahu apa yang perlu dilakukan.”

Benjamin Mora

Raikan semua yang pernah membantu karier anda

Mentaliti juara sebegini tentunya telah diterapkan sedari usia yang muda dan bukan hanya di JDT beliau baru berjumpa dengan mentaliti sebegini.

Skuad Harimau Selatan telah mengangkatnya ke tahap lebih tinggi daripada apa yang AMD telah lakukan terhadap perkembangan kariernya sebelum ini.

PEMBENTUKAN-KENDIRI-PEMAIN
Pembentukkan kendiri pemain di NFDP

Mentaliti juara adalah antara perkara yang diterapkan di NFDP selain kemahiran asas bola sepak yang kukuh, membina personaliti pemain, mempersiap mentaliti pemain dan sebagainya.

Anda boleh lihat bagaimana kualiti pemain yang dilahirkan oleh NFDP ketika ini.

Untuk menafikan terus peranan Teong Kim dalam pembangunan karier Arif adalah tidak munasabah kerana ia sebahagian perjalanan kariernya.

Sebaliknya, beliau harus meraikan semua yang pernah terlibat dalam pembangunan kariernya sehingga ke tahap yang beliau capai kini.

AMD adalah tempatnya bermula dan diasah. JDT pula tempatnya kembangkan kemampuan diri dan berpeluang bersaing dengan pemain yang hebat.

Kita perlu belajar untuk jatuh, untuk bangun lebih kuat selepas itu. Mungkin beliau tiada ruang di AMD pada usia muda, namun Arif terbukti antara prospek negara apabila bersama mereka.

Mentaliti juara membawanya ke JDT dan membuatkannya kuat menempuhi cabaran di sana sehingga ke tahap kini.

Tidak akan jatuh pun kehebatan kita apabila menghargai semua yang pernah membantu kita, tambah-tambah mereka semua adalah guru kita.

Leave a Reply