Perlawanan pertama Selangor Champions League semalam menyaksikan pertembungan di antara PJ Level Up FC menentang pasukan Klang Southern FC dengan keputusan 3-1 berpihak kepada Klang Southern di Stadium Panasonic Shah Alam.
Setelah kedua-dua pasukan gagal untuk mengutip sebarang mata pada minggu yang lalu, sudah pasti misi 3 mata penuh akan dilancarkan pasukan PJ Level Up dan juga Klang Southern bagi perlawanan kali ini.
Bermula babak pertama perlawanan dilihat pasukan Klang Southern lebih banyak menguasai permain dengan banyak hantaran-hantaran pendek dilakukan.
Manakala pasukan PJ Level Up sedikit pasif dan lebih banyak bermain secara defensif.
Klang Southern berjaya mendapat beberapa peluang keemasan untuk membuka jaringan namun gagal disudahkan barisan penyerang mereka.
Namun kebuntuan tersebut berjaya ditebus oleh Kizito Somadina selepas beliau berjaya membuka jaringan pada minit ke-21 perlawanan.
Satu hantaran jauh berjaya dihasilkan rakan sepasukannya dan Kizito mudah menewaskan perangkap ofsaid PJ Level Up yang kemudiannya menewaskan penjaga mereka Yap Chee Siang.
Tidak lama selepas itu satu lagi gol berjaya dihasilkan Klang Southern kali ini melalui How Eng Hua pada minit ke-26 perlawanan.
Berpunca daripada tandukan clearance Razali Elbish yang lemah, Eng Hua yang tidak dikawal mudah melepaskan satu ‘half volley’ bagi memberikan kedudukan yang lebih selesa buat Klang Southern.
Tersentak dengan dua gol tersebut, PJ Level Up bangkit untuk mencari gol bagi menyamakan kedudukan dengan melancarkan beberapa serangan.
Namun ketiadaan Tarik Hussien di bahagian hadapan dilihat memberi sedikit kesukaran buat mereka untuk menghasilkan jaringan.
Masuk babak kedua giliran Klang Southern pula bermain secara defensif dan pasif dalam usaha untuk mengekalkan kelebihan 2 gol. Manakala PJ Level Up secara bertali arus mengetuk gawang gol Klang Southern bagi mengurangkan defisit gol.
Namun sesekali dapat dilihat Klang Southern melancarkan serangan balas terhadap kubu pertahanan PJ Level Up.
Kealpaan barisan pertahanan PJ Level Up sekali lagi dihukum Klang Southern mereka membuka ruang buat Kizito untuk membuat hantaran kepada Saiful Aula yang selepas itu mudah menolak masuk untuk gol ketiga Southern pada minit ke-51 perlawanan.
Jaringan saguhati PJ Level Up hadir pada minit ke-54 perlawanan selepas C. Mahadevan meledak satu sepakan jarak jauh yang gagal ditepis keluar penjaga gol Klang Southern, Alif Daniel Jafri.
Keputusan kekal 3-1 hingga wisel penamat dibunyikan dengan kemenangan berpihak kepada Klang Southern.
Ini merupakan kekalahan ke-3 berturut-turut buat PJ Level Up bagi saingan Selangor Champions League musim ini Klang Southern berjaya merekodkan kemenangan kedua buat mereka.
Statistik perlawanan