Pertembungan Liga Super di antara Kedah menentang Terengganu FC (TFC) di Stadum Darul Aman malam esok pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan dan dijangka akan berlangsung dengan sengit.
Hal ini kerana kedua-dua pasukan terdesak untuk memburu tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan dalam liga selepas tewas 1-2 kepada lawan masing-masing minggu lepas.
Bercakap dalam Berita Harian, ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar mahu rakan sepasukannya memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri dan pada masa yang sama berwaspada terhadapan ancaman Terengganu FC.
Kedua-dua pasukan dijangka akan dikendalikan oleh pembantu jurulatih masing-masing memandangkan Ketua jurulatih mereka iaitu Aidil Sharin Sahak dan Irfan Bakti sedang mengikuti kursus kejurulatihan Diploma Pro AFC di Kuala Lumpur.
“Kami mahu memafaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada untuk mendapatkan tiga mata pada aksi menentang TFC walaupun menjangkakan perlawanan ini sengit.
“Kami tidak mengutip mata penuh dalam empat perlawanan lalu, dan beraksi menentang TFC di laman sendiri kali ini adalah peluang untuk kami buktikan kemampuan.
“Kemenangan sangat kami perlukan untuk tidak menjarakkan mata dengan pasukan yang kini bersaing hebat di kelompok atas Liga Super dimana setakat ini kita ketinggalan lapan mata dengan pendahulu liga,” katanya.
Kedah melalui empat perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi Liga Super setakat ini dan tidak boleh tercicir mata lagi untuk terus mencabar dua pasukan teratas liga iaitu JDT dan Pahang.
Sementara itu, Aidil Sharin Sahak yakin dengan kemampuan Victor Andrag mengendalikan pasukannya untuk mencapai kemenangan yang dimahukan esok.
“Saya yakin beliau (Victor) dan barisan kejurulatihan sediaada akan melakukan tugas mereka dengan baik dan berkesan berdasarkan persefahaman yang telah kita terapkan dalam pasukan selama ini.
“Bersandarkan perancangan untuk memburu kemenangan, saya akan terus berkomukasi dengan Victor bagi melancarkan strategi yang akan diaturkan nanti,” ujar Aidil Sharin lagi.
Victor bukanlah asing di kem Kedah kerana sudah lama berada di belakang tabir pasukan, sebelum ini mengendalikan skuad Piala Presiden Kedah untuk meraih naib juara kejohanan.
Pengendali yang berusia 43 tahun itu juga adalah antara lagenda Kedah yang telah bersama-sama mencipta sejarah kejuaraan Double Treble pada musim 2007 dan 2008.