Jaringan tunggal lewat perlawanan oleh Akyar Rashid memberikan kemenangan sulung buat Kedah dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 ketika berkunjung ke Stadium Batu Kawan pada perlawanan bertemu Perbadanan Kemjuan Negeri Perak (PKNP FC) semalam.
Sebelum ini skuad Helang Merah tewas dalam 2 perlawanan awal Liga ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak.
PKNP FC dan Kedah masing-masing mempamerkan aksi menarik apabila saling berbalas asakan. Ketumpulan penyudah dan kecekapan penjaga gol memaksa kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat 45 minit pertama.
Penyokong Kedah akhirnya melonjak kegembiraan apabila Akhyar Rashid berjaya memecah kebuntuan pada penghujung aksi, berpunca daripada tindakan susulan yang dilakukannya hasil percubaan awal dari Pablo Pallares yang berjaya diselamatkan Bryan See.
Jaringan tunggal dari Akhyar itu sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan pertama dalam saingan liga buat Kedah yang sekaligus meredakan sedikit kekecewaan peminat
Ketika ditemui selepas perlawanan, Marcote berkata tewas dua perlawanan terdahulu benar-benar sukar diterima.
Pengendali skuad Kedah, Ramon Marcote mengakui terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera dan mereka berjaya bangkit mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan menentang PKNP semalam.
“Perancangan rapi sudah dilakukan untuk perlawanan ini dan kemenangan yang diharapkan akhirnya berjaya dicapai biarpun diberi saingan hebat oleh PKNP FC di awal permainan,” katanya.
Menurut Marcote, kehadiran Andik Vermansyah ternyata berjaya memberi impak kepada pasukannya dan memberi motivasi tambahan untuk mencipta kemenangan kedua selepas ini.
Sekaligus menepis keraguan beliau mungkin masih dalam proses pemulihan kecergasan, Andik nampak bertenaga dalam perlawanan ini. Menjadi pemain paling bahaya sepanjang 90 minit.
“Misi kami seterusnya adalah untuk menang ketika bertemu PKNS FC pada 23 Februari ini,” katanya kepada Berita Harian.