Liga Super 2023 berbaki 17 perlawanan dan Kedah Darul Aman ketika ini perlu mengelak tewas lebih daripada tiga kali jika mahu berada di ‘top 3’.
Selepas sembilan perlawanan, Sang Kenari sudah tewas tiga kali dan perkara ini mengundang komentar keras daripada pengendali, Nafuzi Zain di sidang media selepas perlawanan menentang KL City, pada Selasa.
“Bagi saya untuk bersaing di tiga teratas, kita mungkin boleh tewas dalam sekali dua. Tetapi kalau sudah tiga empat kali, untuk kita bersaing di kedudukan teratas itu agak sukarlah,” ungkap pengendali tersebut.
“Kita tahu perlawanan masih banyak lagi, jadi kita kena buat sesuatulah,” tegasnya lagi yang semestinya kecewa dengan kekalahan ketiga mereka.
KL City bangkit untuk menewaskan Kedah di Darul Aman dengan keputusan 3-2 selepas Bojan Ciger menanduk masuk untuk Kedah kembali di depan pada minit ke-30. Sebelum itu, mereka ketinggalan di minit ke-11 hasil gol Paulo Josue sebelum ia disamakan semula oleh Jonathan Balotelli.
📊 Johor Darul Ta’zim meneruskan rekod 100%, manakala Sabah FC naik ke tangga keempat Liga. #LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/LPx2cmFWKC
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 19, 2023
Romel Morales menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48 sebelum Herlison Caion meledak gol kemenangan pada minit ke-75 buat KL City.
Kedah berada di kedudukan kelima, hanya dipisahkan tiga mata daripada Terengganu di tangga ke-6 menjadikan mereka berpotensi dipintas dalam aksi selepas sambutan hari raya – jika tewas kepada Negeri Sembilan.
Mengapa Nafuzi berkata untuk bersaing di kelompak teratas liga, mereka perlu mengelak tewas lebih daripada tiga kali kerana ia akan menjadi lebih sukar? Selepas tewas tiga kali setakat ini, mereka perlu mengelak untuk terus tewas dalam pertembungan selepas ini bermula dengan aksi ke-10.
Melihat kepada trend pasukan yang menduduki kedudukan ‘top 3’, rata-rata pasukan yang duduk di tangga ke-2 dan ke-3 Liga Super tewas purata lima ke enam aksi sahaja. Untuk menjuarai liga, tentu jumlahnya lebih ketat.
Nafuzi Zain Beri Sebab Kedah Tewas Kali Ke-2 Dalam 10 Harihttps://t.co/ZpC3yZpzF5
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 19, 2023
Jadi, ada benarnya kenyataan Nafuzi yang jika tewas lebih daripada tiga kali, situasi akan menjadi lebih sukar untuk bersaing di kelompok ‘top 3’.
Nafuzi sudah menggaris beberapa perkara tentang kelemahan skuad yang dibimbing buat julung kalinya itu antaranya komunikasi dan kerjasama.
“Dari segi komunikasi, dari segi kerjasama nampak seperti kita tidak bermain berpasukan. Persefahaman dan kombinasi antara satu sama lain juga kurang. Untuk bersaing dengan persembahan dan semangat macam ini, sukarlah,” jelas Nafuzi apabila ditanya kekurangan permainan mereka.
“Keyakinan [pemain] adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli, kita tidak boleh nak ajar. Benda lain dalam bola sepak, kita boleh ajar. Kita kekurangan di situlah sebenarnya,” jelasnya lanjut mengenai prestasi para pemainnya.
Pastinya, perkara ini menjadi perhatian utama mereka di saat liga berehat seketika untuk memberi ruang kepada sambutan hari raya pada Sabtu.