Kedah Dimiliki Oleh Tan Sri Dr Daud Bakar, Tapi Siapakah Beliau?

Tan Sri Dr Daud Bakar

Kedah Darul Aman (KDA) telah mengumumkan yang mereka kini mempunyai pemegang saham majoriti yang baharu dalam iaitu Tan Sri Dr Daud Bakar.

Beliau yang sebelum ini menjadi penaung buat KDA sejak 2021, kini telah menjadi pemilik kelab utara Malaysia tersebut dengan Hijau Kuning bersedia melangkah lebih maju.

“Sukacitanya dengan ini, Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) mengumumkan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar adalah pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd,” tulis KDA dalam kenyataan rasmi mereka.

Walaupun sudah sedia berada dalam KDA sejak 2021, kelibat Dr Daud masih belum dikenali sepenuhnya oleh penyokong mereka dan pengikut bola sepak Malaysia amnya.

Siapakah Daud Bakar ini sebenarnya? Artikel ini akan merungkai profil pemilik KDA yang akan mula menguasai kelab pada 2023 ini.

Tokoh korporat ternama

Dr Daud mungkin bukanlah seorang yang dikenali dengan cukup gah dalam dunia bola sepak. Namun begitu, dalam dunia korporat beliaulah ‘abang long’.

Berusia 57 tahun, Dr Daud merupakan anak jati yang berasal dari Alor Star dan kini berkhidmat untuk negerinya pula.

Dr Daud merupakan pengerusi bagi Amanie Group yang merupakan syarikat berpengkalan di Kuala Lumpur.

Amanie Group merupakan sebuah syarikat yang menawarkan khidmat nasihat kewangan terutamanya dalam bidang perbankan Islam serta kewanan syariah.

Dr Daud sememangnya sinonim dalam industri kewangan Islam dan apa sahaja yang melibatkan syariah.

Selain mengemudi Amanie Group, pemenang Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2014 ini juga merupakan pengerusi bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  serta mengasaskan dua syarikat.

Dr Daud terlibat sebagai pengasas bersama bagi Experts Analytics Centre Sdn Bhd serta MyFinB Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat tersebut kemudiannya digabungkan dengan misinya adalah untuk membantu menyediakan data dan analitik bagi klien mereka.

Dr Daud juga terlibat dalam bidang pendidikan dengan beliau kini merupakan presiden semasa bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Karisma dan kredibiliti Dr Daud amatlah berkuasa dengan beliau turut menjawat pelbagai jawatan seperti Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Ahli Badan Penasihat Bank of Oman dan Dow Jones Islamic Market di New York, Amerika Syarikat serta banyak lagi.

Penglibatan dalam bola sepak

Dalam bola sepak, penglibatan Dr Daud tidaklah seaktif ketika dalam dunia korporat.

Penglibatan secara langsung beliau dalam bola sepak hanya sebagai penaung KDA yang bermula pada 2021 selepas dilantik oleh Presiden FA Kedah iaitu Datuk Seri Sanusi Md Nor.

Bermula musim hadapan, penglibatan Dr Daud akan lebih signifikan dalam bola sepak Kedah apabila mengemudi KDA sebagai pemilik kelab.

Ianya pasti akan menjadi sebuah cabaran bagaimana beliau hendak mengangkat KDA menjadi pasukan yang lebih digeruni dan menepati status sebagai pasukan utama di Malaysia.

Perjalanan tersebut pastinya mencabar, tapi ia semestinya akan menghadirkan keterujaan buat semua penyokong Kedah Darul Aman.

Semoga berjaya diucapkan buat Dr Daud Bakar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN