Pastinya ada yang masih ingat tragedi dan ‘pergaduhan’ sebelum musim 2020 bermula antara penyerang muda negara, Jafri Firdaus Chew dan juara Piala FA 2019, Kedah.
Selepas diumumkan sebagai pemain baharu, Kedah secara tiba-tiba menarik balik kenyataan tersebut dan menyatakan bahawa Jafri tidak akan bersama mereka atas faktor kecergasan. Pengumuman tersebut dibuat menerusi Facebook Kedah FA.
Untuk pengetahuan Encik M Daud Kilau, JC telah sign contract bersama KFA pada tarikh 30 September 2019. Sudah “tandatangan” ye. https://t.co/Fev1CtI452
— Azri Ahmad Jefril (@azrihaidhar) December 14, 2019
Ini menimbulkan kemarahan pemain berusia 23 tahun itu dengan cara pengendalian Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang dikatakan langsung tidak memaklumkan terus kepadanya. Sebagaimana orang lain, beliau mengetahuinya menerusi Facebook.
Selepas menghilangkan diri semusim, Jafri Firdaus Chew kini kembali dan beliau akan bersama bekas pasukannya, Penang FC. Perkara itu telah diumumkan oleh Penang FC beberapa hari lalu dan dengan mereka bakal bersaing di Liga Super, pertembungan dengan Kedah pada musim depan pastinya akan mendapat perhatian ramai.
Sememangnya pertembungan Kedah dan Pulau Pinang ada sejarahnya yang tersendiri di kalangan penyokong. Kedua-duanya merupakan musuh ketat sejak berzaman.
Namun, permusuhan antara Jafri dan Kedah baharu sahaja bermula pada musim lalu dan adakah beliau akan ‘mengamuk’ ketika kedua-dua pasukan bertembung nanti?
Harus diakui, prestasi pemain yang pernah dianggap bintang masa depan skuad kebangsaan ini kian malap mengikut peningkatan usianya. Meledak hampir 15 gol dalam 18 aksi bersama skuad B-19 negara dalam pertandingan serantau, Jafri yang semakin meningkat dewasa, sudah mula hilang sentuhan di depan gol.
Mungkin atas faktor lambakan penyerang import, pemain muda sepertinya gagal mendapat tempat sebagai watak utama seterusnya menjejaskan sentuhan mereka.
Empat musimnya di Liga Super bersama Penang FC (2016, 2017) dan PKNS FC (2018, 2019) menyaksikan beliau hanya merekodkan lebih kurang 54 peratus minit permainan daripada 48 penampilan keseluruhannya dan beliau hanya meledak empat gol.
Para penyokong Pulau Pinang dilihat menyambut baik kemasukkan semula Jafri ke dalam pasukan dan tentunya beliau perlu bersaing bersama pemain-pemain yang sudah memahat nama di posisi serangan dan sayap kanan serta telah berjaya membawa naik Harimau Kumbang kembali ke saingan Liga Super 2021.
KREDIT FEATURED IMAGE: GOAL THAILAND
Baca lagi artikel mengenai Jafri Firdaus Chew dan Kedah Darul Aman:
10 Pemain Muda Pulau Pinang (Bawah-23) Berpotensi Besar Yang Perlu Anda Kenal
Perpindahan Liga Super 2018 : Jafri Firdaus Chew Sertai PKNS FC