Pegawai Daerah: FFIRA MIKAH Itu Bahasa Greek Dan Arab, Bukan Nama Saya

Hakim Ariff FFIRA MIKAH

Kontroversi mengenai nama baharu sebuah stadium mini di Kuala Nerang yang dipilih sempena nama Pegawai Daerah Padang Terang, Hakim Ariff Md Noor akhirnya dijawab sendiri oleh pemilik nama berkenaan.

Menurut sumber dari Sinar Harian, Hakim menafikan perkataan FFIRA MIKAH mempunyai kaitan dengan namanya walaupun jelas jika diterbalikkan menjadi ‘Hakim Ariff’ dan persamaan tersebut hanyalah satu ‘kebetulan’.

“Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar.

Jelas Hakim lagi, perkataan ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat dalam bahasa Sepanyol atau Greek (Yunani) manakala ‘Mikah’ pula diambil sempena nama malaikat dalam bahasa Arab.

Isu mengenai nama tersebut telah tersebar di media sosial di mana kebanyakan pihak melihat pemilihan nama Pegawai Daerah yang masih sedang berkhidmat amat tidak wajar kerana masih banyak nama-nama tokoh lain yang boleh dipilih.

“Saya bukan nak kejar glamor. Hasrat saya mahu Padang Terap nampak lebih bersih, cantik dan ceria. Saya tak mahu daerah ini kekal macam dahulu, mereka tak tahu cerita sebenar dan buat andaian begitu.”

Ekoran itu, beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mengatakan pihaknya tiada masalah untuk menukar nama stadium itu dengan nama lain dan bersedia menurunkan papan tanda nama itu agar ianya tidak menjadi isu pada masa hadapan.

“Selepas ini, ia akan dikenali sebagai Stadium Mini Kuala Nerang dan kita akan turunkan papan nama yang mengundang kontroversi itu.”

Berdasarkan gambar yang diambil pada hari ini, papan tanda yang tertera nama FFIRA MIKAH di stadium tersebut telah pun ditanggalkan.

Kredit Foto: Sinar Harian

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Kedah Dah Bersedia Dengan ‘Amukan’ Jafri Firdaus Chew?

Selamat Kembali Ke Negeri Sembilan Zaquan Adha, K. Devan

Kedah Dikhabarkan Akan Kecilkan Skuad Utama Kepada 25 Pemain

Leave a Reply