Sejarah bola sepak Rusia sebenarnya banyak terarah ke kelab-kelab Moscow. Sejak tamatnya era Kesatuan Soviet, kelab dari bandaraya Moscow banyak kali memenangi liga Rusia.
Spartak, CSKA dan Lokomotiv antara kelab gergasi Moscow yang pernah menjulang gelaran liga Rusia.
Zenit St. Petersburg antara kelab yang berjaya pernah membawa keluar trofi liga Rusia keluar dari perbatasan bandaraya Moscow. Selain itu, cuma ada dua kelab selain dua kota ternama itu pernah dimahkotakan sebagai juara liga Rusia.
Alania Vladikavkaz pernah memenangi sekali. Rubin Kazan memenangi dua kali.
Rubin Tersohor
Nama Rubin Kazan tidaklah terkenal berbanding dengan kelab Rusia lain. Nama mereka mula dikenali komuniti bola sepak dunia tatkala menjulang liga Rusia pada 2008 dan 2009.
Pada waktu itu, liga Rusia masih menggunakan kalendar lama iaitu dari Mac ke Oktober. Kami pernah menyentuh isu ini tidak lama dahulu.
Rombakan Liga Rusia Demi Mengikuti Majoriti Liga Utama Eropah
Siapakah gerangan yang menjadi arkitek kejayaan Rubin pada waktu itu? Namanya, Kurban Berdyev yang berketurunan Turkmenistan.
Beliau dilantik sebagai pengurus Rubin pada 2001. Pada musim pertamanya, beliau berjaya membawa kelab itu naik ke liga utama Rusia dari liga bawahan. Musim keduanya di Rubin menyaksikan, Kurban membimbing pasukan itu ke tangga ketiga liga tersebut.
Pada musim 2008, mereka menjuarai liga Rusia dengan meraih 60 mata daripada 30 perlawanan. Mereka hanya kalah 6 kali dan seri 6 kali.
Musim seterusnya menyaksikan, mereka mengekalkan gelaran liga. Mereka mengutip 63 mata daripada 30 perlawanan diharungi. Rubin memenangi 19 perlawanan dan 6 seri.
Sepanjang era pengurusan beliau, Rubin tidak pernah menduduki zon penyingkiran liga. Selain itu, beliaulah pengurus yang memenangi dua trofi liga Rusia bersama kelab itu. Pada 2012, Rubin turut memenangi Piala Rusia semasa diselia olehnya.
Pemain utama
Sergey Ryzhikov diberi mandat untuk menjaga gawang Rubin. Beliau menyertai Rubin sejak 2008 dan tidak pernah berpindah keluar sejak detik kegemilangan kelab itu. Kini, di usia 37 tahun beliau masih berkhidmat di kelab itu.
Cristian Ansaldi, pertahanan terunggul dari Argentina ini merupakan tunjang utama Rubin. Beliau turut dibawa masuk pada 2008 ke Rusia dari kelab Argentina, Newell Old’s Boys. Pada 2013, beliau berhijrah ke Zenit St. Petersburg. Beliau pernah menyarung jersi Atletico Madrid, Genoa dan Inter Milan. Kini, Cristian bersama Torino.
Roman Sharonov sebenarnya rakan gandingan Cristian Ansaldi untuk benteng pertahanan. Beliau kekal di Rubin hingga
persaraannya pada 2014. Roman berasal dari Moscow, Rusia.
Dato Kvirkella juga salah satu pemain penting dalam kempen cemerlang Rubin pada waktu itu. Pemain yang dilahirkan di Georgia ini kemudiannya berhijrah ke Anzhi Makhachkala setelah berjaya di Rubin. Kelab terakhir beliau berkhidmat ialah di Dila Gori di tanah airnya.
Kuasa dari tengah
Sergey Semak juga memainkan peranan penting dalam tunjang kejayaan Rubin. Sebelum menyertai Rubin, sebenarnya beliau
pernah menjadi pemain di CSKA Moscow dan Paris St. Germain. 11 gol dijaringkan olehnya dalam dua musim untuk Rubin membantu
kelab itu meraih gelaran juara liga Rusia dua kali berturut-turut. Sergey pernah menjadi pembantu pengurus Rusia sewaktu
EURO 2016 di Rusia.
Pemain berasal dari Ecuador, Christian Noboa juga menjadi jentera tengah yang penting untuk Rubin Kazan. Di usia 33 tahun, beliau
banyak berkelana di kelab-kelab Rusia selepas kejayaan di Rubin. Kini bersama Zenit St. Petersburg.
Rubin Kazan beruntung mempunyai pemain defensif tengah, Macbeth Sibaya. Beliau menyertai Rubin sejak 2003 dan kekal di kelab itu sehingga 2011. Pengurus kelab seringkali menurunkan Macbeth ini di posisinya. Macbeth sudah kembali ke negara asalnya, Afrika Selatan untuk beraksi di kelab sana.
Alexasandr Ryazantsev salah seorang pemain dalam skuad berharga ini. Beliau turut menyumbang dalam kejayaan kelab dari Kazan ini. Masih lagi aktif dalam karier bola sepak dengan menjadi pemain Amkar Perm.
Kuda serangan
Rubin Kazan banyak bergantung pada Alexsandr Bukharov, penyerang dari Rusia ini. Beliau menjaringkan 16 gol sewaktu musim 2009. Aleksandr kini menjadi pemain Rostov.
Rakan seposisi Aleksandr, Alejandro Dominiguez turut menjadi tongga serangan pasukan pada waktu itu. Pada musim 2009, beliau turut menjaringkan 16 gol. Alejandro kini menjadi alumni pasukan ini dan bersama Rayo Vallecano.
Tumpuan
Anda masih ingat ketika Barcelona dikalahkan Rubin Kazan pada 2009 di Camp Nou? Penjaring gol kemenangan ini, Gokdeniz Karadeniz menjadi hero sekaligus tumpuan dunia. Gokdeniz masih setia bersama Rubin. Pemain berketurunan Turki ini sudah berada di Kazan sejak 2008.
Pasca era dua gelaran juara liga Rusia ini menyaksikan kelab itu konsisten berada dalam kelompok terbaik. Seringkali juga mereka membawa bendera Rusia untuk kejohanan kelab anjuran UEFA.
Kehadiran kembali Kurban Berdyev ke Kazan bakal memberi impak baru kepada kelab. Sebelum ini, beliau berhijrah seketika ke Rostov dan pulang semula ke Rubin Kazan.