FMLLP dan KAFA sudahpun duduk semeja untuk pelbagai isu berbangkit melibatkan KAFA. KAFA kali ini diwakili oleh Pemangku Presiden, Dato’ Afandi Hamzah.
FMLLP sudah menerangkan kronlogi peristiwa berkenaan dengan isu pemotongan mata dan kemudian perpindahan pemain import baharu selepas Abou Bakr.
FMLLP sekali lagi memberitahu KAFA yang pihak mereka gagal mengikut prosedur yang ditetapkan dalam pendaftaran pemain. Beberapa dokumen yang diperlukan, tidak ditunjukkan kepada FMLLP.
Menurut FMLLP:
“FMLLP juga telah menjelaskan secara terperinci kepada KAFA apa yang perlu dilakukan bagi melengkapkan proses pendaftaran.”
“Dalam pada itu, KAFA jelas faham dan bersepakat bahawa isu yang timbul adalah berkaitan dokumen agensi yang terlibat dalam konteks melengkapkan proses pendaftaran pasukan.”
FMLLP memberitahu, KAFA masih ada masa untuk menyelesaikan segala dokumentasi jika mereka benar-benar serius mahu mendaftarkan Seydi ke dalam pasukan.
“Sekretariat KAFA akan menyelesaikan serta memenuhi syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan sebelum 11 Jun 2017 seterusnya membolehkan KAFA mendaftar pemain baharu di jendela kedua perpindahan.”
“KAFA turut menerima dan faham segala permohonan mahupun rayuan berkenaan Liga Malaysia terutama perkara ini perlu dirujuk secara terus kepada FMLLP bagi memudahkan segala isu mahupun pandangan yang diutarakan.”
“Objektif FMLLP adalah pematuhan oleh pasukan. Dalam kes ini, pematuhan kepada tarikh akhir untuk menghantar dokumen bagi pendaftaran pasukan.”
“Pematuhan ini perlu demi kebaikan bolasepak Malaysia di masa akan datang dan tidak boleh dikompromi.”
FMLLP memuji inisiatif yang dilakukan oleh KAFA dalam menyelesaikan masalah yang tmbul seterusnya menghormati dan mematuhi peraturan seperti mana yang telah ditetapkan.