Menjelang aksi Piala AFF yang akan membuka tirai tidak beberapa lama lagi, kebanyakan pasukan yang bertanding sudah pun mula menjalani kem latihan pusat sebagai langkah persiapan mereka sebelum persaingan bermula.
Salah satu pasukan yang mencuri tumpuan untuk edisi kali ini terarah kepada finalis musim lalu iaitu Indonesia menerusi persiapan serta senarai nama yang dipilih untuk membawa cabaran Piala AFF itu.
Penggawa Garuda jalani latihan dengan fokus dan serius!🔥#KitaGaruda pic.twitter.com/7KuO63fpHJ
— PSSI (@PSSI) December 4, 2022
Ketika ini, Indonesia sudah pun memulakan kem latihan pusat sejak beberapa hari lalu dengan lebih awal dengan semua pemain serta staf kejurulatihan ditempatkan di Bali, Indonesia.
Salah satu rutin latihan yang ditekankan oleh pihak kejurulatihan buat pemain ialah mengenai soal kecergasan serta fizikal pemain untuk tampil lebih baik berbanding sebelum itu.
Selain menjalani sesi latihan di padang, para pemain juga ditekankan aspek kecergasan dan fizikal bawah pemantauan jurulatih khas mereka, Shin Sang-gyu.
Menurut pengendali berkenaan, beliau jelas kurang berpuas hati dengan keadaan fizikal para pemain dan sukar untuk mengubahnya dalam masa singkat.
Vamos, amigos! ☄#KitaGaruda pic.twitter.com/t9scUqNs2N
— PSSI (@PSSI) December 3, 2022
“Jelas masih banyak kekurangan yang ada pada pemain ketika ini terutama sekali untuk meningkatkan fizikal mereka dalam masa yang singkat.
“Sebelum ini ketua jurulatih sudah pun memberi pesanan kepada pemain sebelum tiba di kem latihan pusat dengan membuat persediaan terlebih dahulu menerusi aspek tersebut.
“Jika mereka melakukan perkara tersebut lebih awal, ianya akan jadi lebih mudah. Namun ketika ini keadaan fizikal dan stamina mereka jelas sangat kurang,” jelas beliau menerusi Bola.com.
Pada masa sama, Sang-gyu juga berharap agar keadaan fizikal dan stamina pemain dapat bertambah baik sebelum saingan bermula dan dapat menghadapi pasukan lawan tanpa sebarang isu tersebut.
Tambah beliau, salah satu faktor stamina dan keadaan fizikal pemain dilihat agak menurun disebabkan perjalanan liga yang dihentikan sebelum itu, untuk memberi laluan siasatan Tragedi Kanjuruhan.
Semangat pagi, sobat Garuda!💪🏼
Apa doa dan harapan kamu untuk penggawa Garuda yang sedang berlatih? 👀#KitaGaruda pic.twitter.com/lQoNIuveuy
— PSSI (@PSSI) December 1, 2022
“Disebabkan perkara tersebut, susah sekali untuk para pemain mempertahankan fizikal dan kecergasan mereka. Jadi ini menjadi tugas kami untuk meningkatkannya kembali,” ulas Sang-gyu lagi.