Penang Bakal Dapatkan Khidmat Bekas Pertahanan Perak Musim Depan?

Setelah beberapa rombakan dibuat, Penang sah telah melepaskan empat pemain import mereka musim ini dan hanya Rafael Vitor sahaja dikekalkan pasukan tersebut.

Terbaharu, kelab tersebut dikatakan bakal mendapat khidmat pertahanan import terbaharu mereka untuk musim depan bagi membentuk gandingan mantap bersama Rafael.

Pemain yang dikatakan itu adalah bekas tonggak pertahanan Perak pada musim 2019 iaitu Hussein El Dor dan ianya dinyatakan menerusi laman Twitter milik wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Menurut beliau, pertahanan skuad kebangsaan Lubnan itu akan menyertai saingan Liga Malaysia sekali lagi musim hadapan, namun untuk bersama-sama Penang.

“Bekas tonggak pertahanan import Perak, Hussein El Dor difahamkan bakal kembali ke saingan Liga M musim depan namun kali ini bersama dengan Penang FC,” jelas beliau.

Hussein tampil menyertai Perak pada musim 2019 dan menjadi antara tonggak ketika mereka muncul selaku naib juara Piala FA 2019.

Ketika itu, Hussein beraksi bawah kendalian bekss jurulatih berpengalaman Perak iaitu Mehmet Durakovic serta masuk untuk menggantikan khidmat Zac Anderson.

Ketika ini, Hussein sedang beraksi dalam saingan Lebanon Premier League bersama Al-Ansar FC secara pinjaman daripada Shabab Sahel sejak tahun 2020 lagi.

Penang tampil selaku pasukan yang mencatat kedudukan tercorot musim ini dalam saingan Liga Super, selepas hanya merekodkan dua kemenangan sahaja daripada 22 perlawanan dilalui.

Malah mereka juga mencatat jumlah bolos paling banyak musim ini dengan melepaskan 45 gol secara keseluruhan, dan faktor ini menjadi sebab kenapa rombakan dibuat pada posisi pertahanan.

Selain menyingkirkan khidmat import, pasukan tersebut juga sah tidak akan menandatangani kontrak baharu beberapa pemain tempatan lain setelah disahkan sendiri menerusi laman rasmi mereka.

Antara pemain yang tidak akan lagi bersama Penang pada musim hadapan ialah penjaga gol berkaliber, Hafizul Hakim, Rafiuddin Roddin, dan Daniel Ashraf.

“Penang FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hafizul Hakim, Rafiuddin Roddin, Thivendaran, Gopi Rizqi, Tam Sheang Tsung, Azim Rahim, Jafri Firdaus Chew, Faizal Talib, Shukri Hamid, Azzizan Nordin, Ariff Ar-Rasyid, Syazwan Zaipol dan Daniel Ashraf yang bersama pasukan Penang FC sepanjang musim 2022.

“Ahli lembaga pengarah Penang FC telah memutuskan untuk membawa haluan baharu pasukan Harimau Kumbang bagi musim 2023 dan khidmat pemain-pemain ini tidak akan diperbaharui,” jelas laman tersebut.

Leave a Reply