Liverpool telah mempamerkan aksi terbaik, walaupun tewas keatas Barcelona dengan jumlah jaringan yang besar, kata pengendali pasukan, Jurgen Klopp.
“Saya tidak yakin apakah kami [Liverpool] layak untuk mendapatkan keputusan lebih baik. Kami bermain bola sepak yang sangat bagus dan akhirnya mereka[Barcelona] menghasilkan tiga gol. Kami gagal untuk dapatkan gol. Jadi itu [kekalahan] mudah untuk difahami.”
Barcelona hampir pasti mara ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas memastikan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Liverpool pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nou Camp awal pagi tadi.
Dua gol dari Lionel Messi dan satu dari Luis Suarez dianggap selesa buat kelab gergasi Sepanyol itu sebagai bekalan untuk dibawa ke aksi timbal balik di Anfield pada 8 Mei nanti.
Klopp ketika ditanya, jika dia kecewa dengan keputusan tersebut, pengendali berusia 51 tahun itu berkata beliau tidak berasa sedemikian kerana baginya Liverpool telah menunjukkan peningkatan yang baik di pertandingan Liga Juara-Juara sejak tahun lepas.
Malah beliau menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka dan menganggap ianya sebagai adat dalam bola sepak.
“Dalam bola sepak, anda akan menghadapi banyak perkara, dan sebagai pegendali pasukan, anda perlu melakukan penilaian. Bagi saya, perkara terpenting ialah cara kami bermain, dan saya sangat senang dengan apa yang ditampilkan pasukan.”
“Saya tetap bangga dengan pemain kami. Saya fikir ini adalah aksi terbaik kami di pentas Liga Juara-Juara, bukan hanya tahun ini, tetapi tahun lepas juga.”
“Menentang pasukan seperti Barcelona, saya berpuas hati kerana pasukan ini telah menampilkan kemampuan sebenar. Kami berjaya bermain diantara garisan, tidak banyak membuang bola, dan bermain di dalam kota penalti lawan. Kami menghasilkan banyak peluang dan membuatkan mereka mengalami masalah,” kata Klopp dalam sidang media selepas perlawanan.